KUALA LUMPUR – Kementerian Kewangan menafikan dakwaan peruntukan pembangunan luar bandar terutama untuk Majlis Amanah Rakyat (Mara) dikurangkan sebanyak separuh dalam Belanjawan 2019.
Menterinya, Lim Guan Eng berkata, ada pihak menarik perhatian terhadap peruntukan perbelanjaan mengurus Mara sebanyak RM1.3 bilion bagi tahun 2019, yang merupakan pengurangan sebanyak RM2 bilion berbanding 2018.
“Sebenarnya, perkara ini adalah ekoran perbelanjaan biasiswa dan pinjaman pendidikan Mara sebanyak RM2 bilion dipindah klasifikasi daripada perbelanjaan mengurus kepada perbelanjaan pembangunan, memandangkan perbelanjaan tersebut adalah untuk membangunkan modal insan bumiputera yang merupakan pelaburan jangka panjang untuk pembangunan negara.
“Hakikatnya, jumlah peruntukan perbelanjaan mengurus dan pembangunan Mara kekal berada di tahap RM3.7 bilion pada tahun 2019,” katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.
Guan Eng berkata, ada pihak yang mengelirukan keadaan dengan membandingkan peruntukan Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah (KKLW) sebanyak RM9.5 bilion pada 2018 dengan Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) sebanyak RM8.4 bilion untuk tahun 2019. – Bernama










