KUCHING 7 Nov. – Syarikat minyak dan gas negara, Petroliam Nasional Berhad (Petronas) bakal menerima kesan termasuk terjejas pasaran produk keluarannya berikutan tindakan kerajaan Sarawak mengenakan cukai jualan 5 peratus ke atas produk petroleum berkuat kuasa 1 Januari tahun depan.
Walau bagaimanapun ujar Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, perkara itu boleh dibincangkan kerana sebarang kenaikan kos melalui kenaikan cukai tambahan akan menyebabkan produk berkenaan tidak lagi menarik.

Beliau berkata, hal ini kerana keadaan itu akan menjadikan produk petroleum keluaran negara ini menjadi lebih mahal berbanding produk keluaran negara pengeluar minyak yang lain.
“Sebarang kenaikan cukai tambahan mungkin memberi kesan kepada pengeluaran produk petroleum di Sarawak.
“Namun, kita (kerajaan Pusat) menghormati cadangan yang telah dikemukakan dan saya mengambil sikap yang proaktif untuk berbincang lebih lanjut tentang cadangan ini dengan kerajaan Sarawak,” katanya dalam sidang akhbar selepas mengadakan kunjungan hormat ke atas Ketua Menteri, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg di pejabatnya di Bangunan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak di sini hari ini.
Beliau mengulas pembentangan Belanjawan Sarawak 2019 oleh Abang Johari di DUN Sarawak kelmarin, yang mengumumkan bahawa kerajaan negeri buat pertama kali akan mengenakan cukai jualan 5 peratus ke atas produk petroleum berkuat kuasa 1 Januari tahun depan.
Difahamkan, pengenalan cukai itu dilaksanakan bertujuan meningkatkan dana kerajaan negeri, selepas parti menguasai Sarawak tidak lagi bernaung di bawah Barisan Nasional (BN) dan berada dalam Gabungan Parti Sarawak (GPS) pasca-Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14), Mei lalu.
Menurut Ketua Menteri, keputusan berkenaan diambil selepas analisis menyeluruh dilakukan dengan hasil daripada pengenalan cukai itu bakal menjana pulangan RM3.9 bilion.
Sarawak ketika ini hanya menerima royalti minyak 5 peratus daripada kerajaan Persekutuan hasil penerokaan minyak oleh Petronas.
Mohamed Azmin berkata, selain beliau, pihak Petronas turut mempunyai pandangan mereka berhubung perkara tersebut.
“Kita telah menjelaskan kepada Ketua Menteri dan pihak Petronas akan menyediakan maklumat tambahan dan mengadakan perbincangan lanjut bagi membincangkan perkara tersebut.
“Pada masa sama, kerajaan Persekutuan menyambut baik keputusan kerajaan negeri untuk menubuhkan sebuah jawatankuasa perundingan selari dengan keputusan kerajaan Persekutuan bagi memastikan Sabah dan Sarawak mempunyai wakil yang secukupnya bagi membincangkan serta mengkaji semula Perjanjian Malaysia 1963,” katanya.










