Chong Wei sangat luar biasa - Utusan Malaysia

Chong Wei sangat luar biasa

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KETUA jurulatih perseora­ngan lelaki negara, Datuk Misbun Sidek menyifatkan keputusan anak didiknya, Datuk Lee Chong Wei kembali mewarnai sukan badminton adalah satu kejutan dan berita gembira untuk peminat di seluruh dunia.

Misbun percaya hanya ke­gembiraan di gelanggang sahaja dapat mengubati setiap kesakitan dihidapi oleh jaguh badminton itu yang kini telah sembuh daripada barah hidung tahap satu.

“Peminat-peminat semua rindu dengan corak permainan dia di gelanggang. Saya percaya apabila ilmu badminton sudah tertanam dalam dirinya, sampai bila-bila semangat itu sentiasa ada.

“Sekarang ini saya percaya, dalam hatinya (semangat) lebih baik daripada dulu. Apabila dia beritahu akan kembali ke ge­langgang sudah tentu harapan dan semangat juangnya tinggi. Ramai orang yang mengalami nasib sama seperti Chong Wei akan berputus asa. Tetapi Chong Wei sangat luar biasa.

“Saya tidak terkejut kalau prestasinya masih seperti dulu dan mungkin lebih baik lagi,” katanya ketika ditemui di Akademi Badminton Malaysia (ABM), Bukit Kiara, Kuala Lumpur semalam.

Kelmarin, Chong Wei me­ngumumkan keputusannya untuk terus beraksi dalam arena badminton dan menyasarkan penampilan kelima pada Sukan Olimpik 2020 di Tokyo, Jepun.

Beliau merupakan pemenang pingat perak tiga kali berturut-turut pada Sukan Olimpik bermula 2008, 2012 dan 2016.

Beliau sebelum ini berehat seketika dalam arena badminton selama empat bulan kerana perlu menjalani rawatan kanser di Taiwan dan dijangka kembali ke gelanggang bulan depan.

Misbun berkata, pihak kejurulatihan tidak akan melakukan perubahan drastik dalam program latihan sebaliknya mengikut keperluan bekas pemain nombor satu dunia itu.

“Saya rasa tidak perlu perubahan yang drastik dalam program latihan. Dia tahu bagaimana perlu mulakan latihan dan meningkatkan latihannya mengikut pe­ringkat yang biasa dilakukannya.

“Sekarang ini pihak kejurulatihan perlu bersabar de­ngan permintaan beliau (tahap latihan mengikut kemampuan Chong Wei) dan modul-modul yang akan diberikan kepadanya.

“Paling penting adalah memastikan Chong Wei memulakan latihan dengan tenang, tidak perlu banyak fikir dan ini akan membawa kepada satu penampilan yang baharu untuk dirinya,” katanya.

Dalam pada itu, jurulatih Chong Wei, Hendrawan (gambar kecil) berkata, beliau gembira pemain itu membuat keputusan kembali beraksi dan memuji semangat Chong Wei dalam sukan badminton masih tinggi.

“Mengenali Chong Wei, beliau seorang yang mempunyai matlamat. Apabila beliau umum mahu meneruskan kariernya, itu bermaksud beliau menyasarkan sesuatu. Chong Wei bukan pemain yang sekadar bermain, beliau tahu apa yang dia mahu.

“Saya tidak risau tentang teknik atau kemahiran kerana saya percaya Chong Wei tiada masalah mengenai hal itu. Mana-mana pemain hebat di dunia miliki dua perkara itu dan ia tidak akan hilang. Paling pen­ting adalah mengembalikan semula kecergasannya,” kata Hendrawan.

Hendrawan antara jurulatih yang bersama-sama Chong Wei pada saat pemain itu menghadapi situasi sukar iaitu sebelum ini didapati positif doping jenis de­xamethasone pada Oktober 2014.

Jelasnya, biarpun mempunyai hubungan rapat dengan Chong Wei, Hendrawan berkata, keputusan Chong Wei kembali ke gelanggang adalah satu kejutan kerana tiada perbincangan diadakan mengenai perkara itu.

“Saya tidak pernah tanya dan dia sendiri juga tidak pernah beritahu mengenai status kariernya. Sebelum ini saya hanya melawat beliau dan bercakap soal kesihatannya sahaja,” katanya. – Bernama

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN