KUALA LUMPUR 25 Nov. – Sama ada Thailand, Filipina atau pun Singapura, jurulatih Harimau Malaya, Tan Cheng Hoe bersedia untuk menghadapi mana-mana pasukan tersebut dalam aksi separuh akhir Piala AFF yang dijadualkan berlangsung pada 1 Disember ini.
Malaysia menamatkan saingan Kumpulan A sebagai naib johan selepas menewaskan Myanmar 3-0 di Stadium Nasional Bukit Jalil, semalam bakal berdepan dengan juara Kumpulan yang hanya akan diketahui, malam ini.
Thailand akan menerima kunjungan Singapura di Stadium Rajamangala, Bangkok, manakala, Filipina bertandang ke Stadium Gelora Bung Karno untuk menghadapi Indonesia dan kedua-dua perlawanan tersebut berjalan serentak pada pukul 8 malam ini (waktu Malaysia).
“Apa yang penting kami layak ke separuh akhir dan perlu melakukan persediaan dengan baik. Mungkin separuh akhir ini sekali lagi mendapat tuah beraksi di Stadium Nasional Bukit Jalil yang mampu memberi motivasi tinggi kepada pemain.
“Saya tidak kisah jumpa pasukan manapun, yang penting kami kena kekalkan momentum, keyakinan dan corak permainan,” kata Cheng Hoe. – UTUSAN ONLINE











