SEREMBAN 14 Nov. – Walaupun jumlah gelandangan di bandar ini tidak begitu ramai, namun kehadiran golongan yang memilih hidup sedemikian agak membimbangkan jika tiada kawalan dilakukan pihak berkuasa.
Tinjauan Utusan Malaysia mendapati kebanyakan golongan ini menjadikan beberapa lokasi antaranya di sekitar kaki lima premis perniagaan dan kawasan sekitar Terminal One di sini sebagai tempat tidur.
Kebiasaannya kelibat mereka jarang kelihatan pada waktu siang, namun mula boleh dilihat apabila tiba waktu malam iaitu sekitar pukul 10 malam.
Meskipun ada usaha dilakukan kerajaan negeri untuk membantu, namun masalah gelandangan masih belum dapat diatasi sepenuhnya.
Seorang pelajar, Amirul Hakim Lokman, 22, berkata, kehadiran gelandangan yang tidur di tempat awam membuatkan orang ramai berasa tidak selesa.
“Bukannya saya memandang rendah kepada mereka tetapi tidak sepatutnya masalah ini berlarutan. Setiap gelandangan ada kisah dan masalah sendiri tetapi perlu ada tindakan bagi membantu mereka.
“Saya berpandangan kalau tidak disediakan tempat perlin-dungan dan penyelesaian, mungkin pada masa akan datang jumlah mereka akan bertambah. Sudah tentu kita tidak mahu Seremban menjadi tumpuan gelandangan,” katanya di sini.
Menurut Amirul Hakim, pihak berkuasa perlu membuat keputusan drastik termasuk menahan gelandangan dan kemudiannya ditempatkan di rumah kebajikan.
Sementara itu, Pertubuhan Kebajikan Asnaf Setia Kasih Negeri Sembilan (Perkasih N9) adalah antara pertubuhan bukan kerajaan yang banyak memberi perhatian kepada nasib gelandangan berkenaan.
Setiausahanya, Norfadilah Mansor berkata, pihaknya mengadakan aktiviti memberi makanan kepada golongan gelandangan di sekitar Seremban pada setiap minggu agar mereka tidak berasa tersisih.
“Selain mengambil tahu ke-perluan mereka untuk meneruskan kelangsungan hidup, kami turut mendekati golongan ini dan berkongsi kisah hidup tanpa menghukum atas apa yang berlaku terhadap kehidupan mereka.
“Golongan ini sebenarnya memerlukan seseorang yang ikhlas mendengar rintihan dan mengapa mereka menghabiskan sisa-sisa kehidupan di kaki lima, bawah jambatan atau tepi pasar,” katanya.










