KUALA LUMPUR 21 Nov. – Keberanian anggota polis yang cedera dalam kejadian berbalas tembakan dengan sekumpulan perompak di sebuah pasar raya di Kuchai Lama, di sini semalam wajar dipuji.
Ketua Polis Selangor, Datuk Mazlan Mansor berkata, beliau bangga dengan tindakan anggota tersebut yang menggadai nyawanya untuk membanteras jenayah.
“Inilah pengorbanan yang dilakukan anggota polis untuk membanteras jenayah dan memastikan keselamatan masyrakat,” katanya ketika dihubungi Utusan Online, di sini hari ini.
Terdahulu, Mazlan sempat meluangkan masa selama satu jam untuk melawat anggota berpangkat Koperal berusia 37 tahun dari Bahagian Siasatan Jenayah Berat (D9) Selangor yang menjalani rawatan di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM), di sini hari ini.
Menurut Mazlan, anggota tersebut telah selamat menjalani pembedahan selepas terkena tembakan di bahagian lutut kiri semalam.
“Alhamdulillah, keadaannya kini stabil dan saya jangka dia akan keluar daripada hospital hari ini,” jelasnya.
Semalam, cubaan enam lelaki warga tempatan untuk melarikan barangan kemas dari kedai emas di sebuah pasar raya di Kuchai Lama gagal selepas lima daripada mereka ditembak mati manakala seorang lagi berjaya ditahan polis.
Dalam kejadian yang berlaku kira-kira pukul 4.45 petang itu, kesemua perompak sempat menyamun kedai emas sebelum berbalas tembakan dengan polis ketika keluar dari pasar raya tersebut. – UTUSAN ONLINE











