Bunga kristal tarikan di Gunung Keriang - Utusan Malaysia

Bunga kristal tarikan di Gunung Keriang

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR 28 Nov. – Kedudukan Gunung Ke­riang yang terletak di pinggir bandar Alor Setar bukan sahaja menjadikan ia mercu tanda yang cukup mudah dikenali dan tersergam indah malah cukup masyhur de­ngan nilai khazanahnya.

Kawasan rekreasi bagi pe­minat aktiviti lasak seperti men­daki itu cukup sinonim kepada masyarakat setempat memandangkan gua-gua kecil turut menyediakan baja guano (tahi kelawar) kepada petani yang mengusahakan penanaman padi di negeri ini suatu ketika dahulu.

Kini, kawasan gua batu kapur yang masih belum diusik sepenuhnya itu kekal relevan kera­na dikatakan dipenuhi bunga kristal kalsit unik dan bernilai tinggi yang pasti mendambakan dalam kalangan peminat kristal dari dalam dan luar negara.

Pencari bunga kristal, Mahadi Mat Akhir, 52, dari Taman Rekreasi Gunung Keriang memberitahu, dia sudah lebih 20 tahun mencari kristal di kawasan tersebut sebagai sumber pendapatan menyara hidup selepas memilih untuk berhenti kerja.

Dia yang pernah bekerja sebagai juruteknik di Pulau Pinang berkata, pada peringkat awal, agak sukar untuk membezakan kristal dengan batu biasa tetapi lama-kelamaan dengan tunjuk ajar pencari batu kristal lain, dia semakin cekap menilai seterusnya mengeluarkan bunga kristal dengan cara yang betul.

“Walaupun tanpa sebarang ilmu mahupun pengalaman mencari bunga kristal, saya dan seorang rakan yang merupakan pendaki gunung ini masuk ke dalam gua dengan hanya berbekalkan lampu minyak tanah, pahat dan penukul.

“Kami masuk dan terpaksa halakan lampu minyak tanah pada dinding gua untuk cari bunga kristal dan pada masa itu mudah kerana kristal masih banyak,” katanya ketika ditemui di kedai kristal milik­nya, di sini baru-baru ini.

Menurutnya, bunga kristal pada masa ini tidak sebanyak dahulu dan ia kini boleh dianggap sebagai ‘harta karun’ yang perlu diburu selain bukan kerja mudah kerana mereka perlu mendaki selama kira-kira sete­ngah jam di laluan trek berbukit sebelum masuk ke dalam kawasan gua yang sempit dan berbatu licin.

“Kami terpaksa me­rangkak untuk ma­suk ke dalam terowong yang sempit dan terpaksa menyusup di celah-celah dinding gua berbatu yang tajam,” katanya.

Mahadi berkata, terdapat ba­nyak gua di Gunung Keriang antaranya Gua Terus, Gua Aji, Gua Kalat, Gua Cempedak Air, Gua Wang Buluh, Gua Jutawan, Gua Sirih dan Gua Sanding.

Dalam pada itu, kata­nya, sebagai pencari kristal, dia per­­lu bijak me­ng­gambarkan bentuk kristal itu menyerupai sesuatu seperti bentuk haiwan atau bangunan selain mengenal pasti warna sebelum meletakkan nilai kepada setiap bunga kristal yang dijual.

“Kita juga perlu pastikan tiada kecacatan mahupun kerosakan pada kristal kerana jika ada, ia menghilangkan seri seterus­nya menjejaskan harga jualan.

“Harga jualan kristal di sini adalah antara RM5 dan RM40,000 manakala kebanyakan pelanggan saya rata-rata berketurunan Cina dari seluruh negara termasuk luar negara seperti Singapura, Hong Kong dan China,” katanya.

Sementara itu, pemilik kedai makan Keriang Hill Cafe’ Abu Bakar Al-Banjari, Leftenan Kolonel (B) Abu Bakar Husin berkata, dia baru membuka perniagaan di kaki Gunung Keriang sejak awal tahun lalu apabila menyedari potensi kawasan tersebut dalam sudut pelancongan.

“Saya melihat kawasan kaki gunung ini mempunyai potensi dalam bidang pelancongan dan salah satu hasrat saya membuka perniagaan ini adalah untuk menghidupkan suasana di sini,” katanya.

Katanya, kristal Gunung Keriang menjadi tarikan utama di kaki gunung tersebut dan berharap kerajaan negeri dapat mempromosikannya dengan lebih giat lagi.

“Kerajaan negeri mu­ngkin boleh menaik taraf kedai di sini dan menggalakkan perniagaan bukan sahaja kristal tetapi juga produk usahawan tempatan di sini,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN