GUA MUSANG 28 Nov. – Masyarakat Orang Asli suku Temiar di pedalaman negeri ini masih berpegang kepada amalan ritual tradisional apabila menjadikan pokok herba hutan untuk mengubati pelbagai jenis penyakit.
Bunga ‘charax’ merupakan salah satu tanaman penting bagi masyarakat tersebut untuk merawat penyakit dan memulihkan semangat.
Seorang penduduk Orang Asli Kampung Kaloi, Pos Pasik, Along Busu, 71, berkata, bunga tersebut dipercayai dapat merawat sejenis penyakit yang dikenali sebagai ‘tekruu’ iaitu kehilangan berat badan akibat melanggar pantang pemakanan.
“Kebiasaannya, penyakit itu akan menyerang wanita dan kanak-kanak yang melanggar pantang apabila mereka memakan khinzir.
“Ketika itulah kita akan menggunakan bunga itu dengan cara merebus dan minum airnya untuk memulihkan pesakit,” katanya di sini hari ini.
Seorang lagi penduduk, Muna Angah, 55, berkata, selain mengubati penyakit, bunga itu juga kebiasaannya ditanam bersama padi bukit sebagai usaha menjaga tanaman tersebut.
Katanya, bunga itu dipercayai dapat mengelakkan serangan penyakit tanaman.
“Mengikut kepercayaan kami bunga ini dapat memelihara hasil tanaman daripada rosak. Selain itu, kita juga menggunakan bunga itu untuk membuat hiasan kepala bagi kaum wanita.
“Bunga itu senang didapati kerana kebanyakan penduduk sudah menanamnya berhampiran rumah mereka,” katanya.










