Boleh adakan himpunan bantah ICERD - Utusan Malaysia

Boleh adakan himpunan bantah ICERD

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR 22 Nov.- Himpunan besar-besaran membantah ratifikasi Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD) yang dijadual pada 8 Disember depan boleh diadakan tetapi perlu membuat permohonan kebenaran terlebih dahulu.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Mohamed Hanipa Maidin berkata, beliau berharap penganjur himpunan tersebut dapat membuat permohonan tersebut dengan baik dan betul.

“8 Disember ini boleh, saya harap buatlah permohonan secara baik dan betul. Tak kisah kita mahu berhujah mengenai ICERD bagus atau tidak, tapi biarlah berhujah secara bernas bukan teriak dengan ganas,” katanya.

Beliau menjawab celahan Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman (BN-Pasir Salak) yang bertanyakan sama ada kerajaan dapat memberi kebenaran bagi himpunan yang dirancang diadakan di Dataran Merdeka dalam sesi pertanyaan Menteri pada sidang Dewan Rakyat, hari ini.

Dalam pada itu, menurut Mohamed Hanipa, prinsip demokrasi semakin terserlah selepas kerajaan PH mentadbir negara ini.

“Sebagai contoh, hampir setiap hari pihak yang tidak bersetuju dengan PH boleh membuat bantahan dengan begitu bebas dan lantang.

“Kalau tidak berlakunya perubahan kerajaan pada 9 Mei lalu, mungkin kita tidak akan dapat merasai roh demokrasi berada dalam negara kita,” katanya menjawab soalan tambahan Larry Soon (PH-Julau) yang ingin mengetahui bagaimana kerajaan memastikan prinsip demokrasi dipelihara supaya rakyat mempunyai kebebasan untuk memilih dan mengkritik kerajaan.- UTUSAN ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN