KUALA LUMPUR 22 Nov. -Ruang tempat merokok yang tidak lagi digunakan di Parlimen dicadang dijadikan tempat istirehat bagi ahli-ahli Parlimen.
Siti Zailah Mohd. Yusoff (Pas-Rantau Panjang) berkata, kerajaan boleh meletakkan kemudahan seperti kerusi urut atau membenarkan tukang urut buta refleksologi ke Parlimen.

Katanya, cadangan ini bagi memberi kemudahan selesa kepada ahli-ahli Parlimen yang memperuntukkan tempoh lama di Parlimen.
“Bagi memanfaatkan ruang kosong ini,kalau boleh, letaklah kerusi untuk kita rehat atau kerusi urut, sidang Dewan Rakyat kadang-kadang bersidang berbulan-bulan, kadang-kadang badan lenguh, duduk sampai lewat malam.
“Semoga ada tempat rehat. Saya lihat, ada saja ahli Parlimen yang lenguh-lenguh badan hanya tidur di surau,” katanya.
Beliau berkata demikian sewaktu membahaskan usul Rang Undang-Undang Perbekalan 2019 peringkat jawatankuasa dalam sidang Dewan Rakyat hari ini. – UTUSAN ONLINE










