KUALA LUMPUR 28 Nov. – BIMB Holdings Bhd. (BHB) mencatatkan keuntungan sebelum cukai selepas zakat (PBZT) RM807.3 juta bagi tempoh sembilan bulan berakhir 30 September 2018, meningkat 10.2 peratus daripada RM732.3 juta tempoh sama tahun sebelumnya.
Menurut BHB, PBZT bagi Bank Islam meningkat 5.8 peratus atau RM34.4 juta kepada RM625.7 juta daripada tempoh sama tahun lepas.
Tambah syarikat tersebut, pertumbuhan itu disokong oleh pendapatan yang dijana oleh kenaikan kasar asas dan kadar pembiayaan asas 25 mata asas berkuatkuasa Februari lalu, serta pertumbuhan pembiayaan yang lebih tinggi.
“Selain itu, Takaful Malaysia pula merekodkan PBZT RM234.2 juta dalam tempoh berkenaan, meningkat 18.5 peratus berbanding sembilan bulan pertama 2017.
“Keuntungan yang lebih tinggi ini disumbangkan oleh pendapatan yuran wakalah bersih lebih tinggi yang timbul daripada pertumbuhan perniagaan dalam perniagaan Takaful Keluarga dan Takaful Am,” jelas BHB dalam kenyataan di sini hari ini. – UTUSAN ONLINE










