TANGKAK 22 Nov. – Penduduk di daerah ini terutamanya di kawasan yang sering dinaiki air semasa banjir dinasihatkan sentiasa berjaga-jaga dan mengikut arahan pihak berkuasa bagi mengelak kejadian tidak diingini.
Pegawai Daerah Tangkak, Mahadon Marnin berkata, biarpun pihak Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) telah melaksanakan kerja-kerja pelebaran parit, namun situasi tidak jangka boleh berlaku.
Menurutnya, jawatankuasa bencana peringkat daerah yang terdiri daripada pihak polis, bomba dan penyelamat, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), JPS, Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan beberapa agensi lain turut bersedia menghadapi situasi itu.
“Jawatankuasa ini juga telah dipanggil untuk bermesyuarat pada minggu lalu dan membentangkan perancangan serta persediaan agensi masing-masing.
“Pemeriksaan berkala paras air di lokasi-lokasi berpotensi juga sudah dilakukan memandangkan cuaca yang kerap hujan ketika ini,” katanya ketika dihubungi, di sini hari ini.
Mahadon yang juga pengerusi jawatankuasa berkenaan berkata, beberapa projek pelebaran dan pelurusan sungai telah selesai dilaksanakan, namun pemantauan berterusan tetap dilakukan agensi berkaitan.
“Hasil kerja naik taraf tersebut kita menjangkakan aliran air akan semakin laju. Jadi, di kawasan yang sering dilanda banjir mungkin tidak terlalu lama tempohnya berbanding sebelum ini,” ujarnya.










