TAIPING 20 Nov. – Penerima Anugerah Keluarga Mithali pada sambutan Maulidur Rasul peringkat negeri Perak tahun ini, Harun Othman, berkongsi rahsia membesarkan 11 anaknya sehingga berjaya dan kini mempunyai 38 orang cucu.
Harun, 83, dari Kampung Sungai Betul, Bagan Datuk berkata, dia mendidik anaknya bersungguh-sungguh dengan mengajarkan empat amalan penting walaupun mengakui berdepan ujian yang hebat.
“Pertama yang saya tekankan ialah ibadah solat, jangan ditinggalkan. Kedua, jangan berlaku sombong. Kemudian, hormat-menghormati sesama masyarakat.
“Saya juga berpesan kalau hendak dihormati, hormatlah diri kita dahulu. Selain itu, saya juga sentiasa berdoa agar keikhlasan saya mendidik anak-anak adalah semata-mata kerana Allah,” katanya.
Harun berkata demikian ketika ditemui selepas menerima anugerah tersebut yang disampaikan oleh Pengerusi Jemaah Pemangku Raja Perak, Raja Jaafar Raja Muda Musa di Pusat Latihan Teknologi Tinggi (Adtec) Taiping dekat sini, hari ini.
Harun yang bertugas sebagai imam utama di Masjid Sungai Betul, membawa pulang wang tunai sebanyak RM5,000 berserta plak dan hadiah iringan.
Beliau juga merupakan seorang Penolong Pendaftar Nikah, Cerai dan Rujuk yang telah berkhidmat lebih 30 tahun sejak 1977.
Katanya, setiap anak yang dilahirkan isterinya, beliau melakukan tahnik dan ditiupkan sambil membaca ‘Ya Latif’ sebanyak tujuh kali dan amalan itu membuatkan anak-anaknya berjaya.










