Bentang belanjawan lebihan RM24.38 juta - Utusan Malaysia

Bentang belanjawan lebihan RM24.38 juta

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUANTAN 19 Nov. – Kerajaan negeri hari ini membentangkan Belanjawan Negeri 2019 yang merupakan belanjawan lebihan iaitu sebanyak RM24.38 juta.

Bertemakan, #MajuTerusPahang: Transformasi Perkhidmatan, Menjana Pendapatan, Memakmurkan Kehidupan, be­lanjawan surplus kali ke-16 sejak 1992 itu diperoleh selepas kutipan hasil tahun depan dianggarkan berjumlah RM703.80 juta berbanding belanjawan mengurus berjumlah RM679.46 juta.

Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, seba­nyak RM98.05 juta diperuntukkan untuk perbelanjaan pembangunan yang mana RM63.75 juta untuk pembiayaan cara langsung manakala RM34.30 juta adalah daripada pinjaman kerajaan Persekutuan bagi membiayai projek bekalan air.

“Daripada jumlah RM679.46 juta perbelanjaan mengurus itu, RM315.33 juta adalah untuk emolumen dan RM161.66 juta untuk perkhidmatan dan bekalan manakala, sebanyak RM191.38 juta lagi adalah untuk pemberian dan kenaan bayaran tetap.

“Sebanyak RM7.61 juta diperuntukkan untuk per­belanjaan lain dan RM3.48 juta bagi pembelian aset. Anggaran perbe­lanjaan mengurus untuk 2019 berkurang sebanyak RM20.58 juta atau tiga peratus berbanding 2018 yang mana ini merupakan langkah kerajaan negeri dalam me­laksanakan dasar penjimatan tetapi pada masa yang sama tidak mengabaikan kebajikan rakyat,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika membentangkan bajet berke­naan dalam persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) di sini hari ini.

Wan Rosdy berkata, jumlah kutipan hasil RM703.80 juta yang dijangka pada tahun depan adalah meningkat sebanyak RM3.16 juta berbanding anggaran pada tahun ini.

“Kutipan hasil 2019 dijangka diperoleh daripada hasil tanah dan galian sebanyak RM388.80 juta; hasil perhutanan sebanyak RM150.70 juta; hasil air sebanyak RM2.70 juta; geran dari kerajaan Persekutuan sebanyak RM115 juta dan lain-lain hasil sebanyak RM46.60 juta,” jelasnya.

Pada perbentangan belanjawan itu, beliau turut mengumumkan pemberian bantuan khas sebanyak RM500 kepada semua penjawat awam gred 54 dan ke bawah.

“Bagi tujuan pembayaran ini, kerajaan negeri memperuntukkan RM3.7 juta yang akan memberi manfaat kepada 7,405 penjawat awam dan pembayaran ini akan dibuat pada Disember ini,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN