“PAPARAN minggu lalu dalam ruangan DCCK bahawa Mahkamah Syariah Tidak Berat Sebelah menarik perhatian saya yang sudah beberapa tahun turun naik mahkamah. Kalau wanita lain rasanya sudah lama tarik diri atau lupakan tuntutan tunggakan nafkah kerana kerenah Mahkamah Syariah yang amat mengecewakan.
“Saya akui bukan mudah nak bawa kes ke mahkamah tanpa khidmat peguam, tetapi apa boleh buat. Saya tak ada duit kerana yuran guaman puluhan ribu ringgit. Lainlah bekas suami, dia lebih rela bagi peguam, daripada bagi anak-anak makan?’’ Kata Mimi membuka luahan hatinya yang sudah tujuh tahun berjuang tuntut tunggakan nafkah dan masih gagal.
“Sebenarnya berurusan dengan mahkamah memerlukan kesabaran yang tinggi, sebab ada enam peringkat untuk kita fahami, sebelum bawa kes ke mahkamah langkah awal sebelum ke mahkmah kita terpaksa pergi Sulh. Jika salah satu pihak tidak bersetuju barulah kita ambil langkah pertama iaitu failkan kes, mahkamah sampaikan saman, diikuti sebutan kes, barulah ada perbicaraan dan kita dapat keputusan penghakiman.
Jika defenden engkar ada langkah kedua, failkan tunggakan, sekali lagi episod yang sama berlaku, penyampaian saman kepada defenden, ada sebutan kes, perbicaraan, dan keputusan perintah penghakiman.
Jika defendan tetap degil, tak bagi nafkah, kita ke mahkamah buat langkah ketiga. Failkan Saman Pemiutang Penghakiman diikuti episod yang sama, penyampaian saman, sebutan, perbicaraan keputusan dan perintah penghakiman.
“Macam kes saya defenden tetap degil, saya failkan langkah keempat. Failkan Kebenaran Komital Ex Parte di Mahkamah Tinggi untuk dibicarakan di Mahkamah Rendah. Dan berlakulah episod sama seperti di atas dan berulang setiap kali masuk mahkamah. Kerana bekas suami keras kepala, saya buat langkah kelima, failkan Komital Ex Parte di Mahkamah Rendah. Sekali lagi episod sama berulang. Masuk mahkamah lagi dan buka kes baru langkah keenam.
“Jadi cuba anda bayangkan berapa lama kes berjalan, sudah pasti bertahun-tahun. Sedangkan masalah boleh diselesaikan di peringkat awal lagi apabila hakim keluarkan perintah, defendan mesti patuh jika gagal dia terus dipenjarakan. Tidak ada main tarik tali berlaku. Jika cara ini berkuat kuasa, pasti lebih ramai bapa terpaksa bertanggungjawab.
“Dari pengalaman saya, ramai ibu tunggal enggan ke mahkamah bermula dari kaunter lagi. Puncanya bila minta borang mereka diarahkan suruh guna peguam. Mereka tak fikir ke, bukan semua ibu tunggal berduit kerana tak ada duitlah mereka nak minta nafkah.
“Biasanya bila kes ke mahkamah, defenden tak hadir, beri pelbagai alasan tak terima surat, sakit dan macam-macam lagi. Sedihnya tidak ada tindakan tegas mahkamah, sekadar amaran tidak ada siapa peduli. Akibatnya berlakulah penangguhan demi penangguhan. Itu belum lagi tindakan peguam yang tentukan tarikh ikut kesuaian diri.
“Dari pengalaman saya sebelum ke mahkamah, pasangan yang ingin buat tuntutan terlebih dulu kena pergi Sulh. Kalau salah satu pihak tak bersetuju maka kes dipanjangkan ke mahkamah. Semasa saya pergi Sulh saya setuju semua ketetapan dibuat oleh defenden, saya tak bantah. Tetapi tiba pada tarikh perlaksanaan, defenden langgar apa yang dia telah setuju. Dia tak bagi nafkah. Maka saya terpaksa bawa ke mahkamah, barulah mahkamah berjalan.
“Tetapi defenden tetap tak hadir ke mahkamah, dia sengaja melambatkan kes kerana tak mahu bayar nafkah.
“Oleh kerana defenden tak bayar nafkah setelah keluar perintah, maka saya buat tuntutan baru dan failkan saman pemiutang penghakiman. Ini bermakna saya terpaksa lalui sekali lagi hal yang sama, defenden tetap mengelak, culas, engkar dan tak mahu bayar saman nafkah tertunggak. Bermakna sekali lagi saya terpaksa tunggu setahun dua baru kes boleh dibicarakan. “Oleh kerana tuntutan ketiga pun gagal, dia tak mahu bayar nafkah, maka saya buka fail kali keempat iatu failkan kebenaran komital ex parte di Mahkamah Tinggi untuk dibicarakan di Mahkamah Rendah. Iaitu untuk pengkomital atau penjarakan defenden akibat kegagalan setelah sekian kalinya engkar perintah mahkamah untuk bayar tuntutan nafkah tertunggak.
“Bila buka fail bermakna sekali lagi episod yang sama berulang, tetapi defenden tetap tak mahu bayar tunggakan. Tetapi bila dia disaman ke mahkamah, dia datang sebab takut kena penjara tapi dia berjanji depan hakim akan bayar. Namun tujuan defenden semata-mata untuk dapatkan kepercayaan mahkamah dan dia boleh melepaskan diri lagi.
“Semua ini berlaku kerana Mahkamah Syariah tidak tegas. Mungkin juga mereka memikirkan hal-hal nafkah ini sebagai masalah rumahtangga yang remeh yang patut dibincangkan oleh suami isteri sahaja. Jika itulah perkiraannya, tidak gunalah ada Mahkamah Syariah biarkan sahaja apa juga akan berlaku seperti zaman dulu kala.
“Sedangkan mahkamah sedia maklum perjalanan satu-satu kes itu amat panjang dan selalu tidak berjalan lancar kerana ketidak hadiran defenden, tertangguh dan lain-lain sebab. Inilah juga punca mengapa sesuatu kes memakan masa bertahun-tahun.
“Sedangkan dalam tempoh bertahun-tahun ini, dari anak kecil hingga bersekolah, si ibu terus teraniaya membanting tulang mencari rezeki membesarkan anak-anak. Sepatutnya para hakim memikirkan nasib anak-anak mangsa perceraian yang terbiar ini, sedangkan dalam masa yang sama si ayah bebas terlepas dari menjalankan tanggungjawabnya.
“Kesimpulannya, ramai ibu tunggal tidak teruskan tuntutan nafkah anak-anak, bukan kerana mereka sudah dapat tuntutan, sebaliknya mereka sudah bosan dengan kerenah bekas suami dan Mahkamah Syariah yang tidak membela nasib ibu-ibu tunggal, hingga dalam hati mereka tersemat rasa benci.
“Macam kes saya hendak dapatkan waran tangkap bukan satu kerja mudah, saya terpaksa berkali-kali datang bertanya kepada petugas mahkamah bila waran tangkapan akan dikeluarkan saya desak mereka.
“Petugas mahkamah akan beri jawapan `standard’, kami akan keluarkan tak lama lagi, puan dan kami akan maklumkan kepada puan nanti.’’ Itu semua cakap sahaja. Kita jangan cepat puas hati, apa lagi percaya. Kalau kita diam maka cerita tangkap defenden akan jadi cerita basi atau hilang dari radar mahkamah.
“Urusan penangkapan pula akan memakan masa berbulan- bulan, macam kes saya hingga setahun baru dilaksanakan. Itu pun saya sendiri terpaksa berusaha beri alamat dan cari defenden di mana dia larikan diri. Saya terpaksa buat jika tidak tindakan tidak berjalan dan saya tak dapat nafkah anak-anak.
“Saya sedar bukan semua ibu tunggal boleh melalui kerenah makamah yang amat menyulitkan ini. Ada yang berhenti separuh jalan, kerana sakit hati dipermainkan. Bukan bermakna mereka berhenti buat tuntutan mereka sudah dapat nafkah tetapi kerana sakit hati hingga membuat hidup mereka lebih menderita menanggung anak-anak yang bukan tanggung jawab mereka, sebaliknya tanggunjgjawab ayah yang diamanahkan oleh Allah. “Dari pengalaman saya berurusan dengan mahkamah memang makan belanja yang banyak. Contohnya terpaksa bayar tambang kereta sewa dan teksi selain membuang masa saya dan anak-anak sendiri. Ada yang terpaksa ponteng sekolah untuk jaga adik-adik.
“Sepatutnya kes tuntutan nafkah ini boleh selesai peringkat awal lagi jika mahkamah bertindak tegas. Kalau suami degil nasihatkan dia daripada bayar peguam puluhan ribu berikan kepada anak-anak, bukankah itu lebih baik. Dan jadilah ayah bertanggungjawab.
“Ada juga defenden ugut bekas isteri kalau hendak cerai jangan buat tuntutan nafkah, apa lagi tuntutan harta sepencarian dan mutaah. Oleh kerana si isteri terlalu tertekan dengan perangai suami, maka dia terpaksa ikut ugutan suami. Bercerai tanpa buat tuntutan. Akhirnya hidupnya lebih menderita.
“Patutnya dalam kes seperti ini, semasa Sulh nasihatkan dependen bahawa nafkah anak adalah tanggungjawab dia sebagai ayah dan jangan kenakan syarat menganiaya bekas isteri. Malangnya ada juga yang nasihatkan pasangan ambil peguam lawan di mahkamah. Nasihat mereka bukan menyenangkan tetapi menambah beban kepada ibu-ibu tunggal yang tidak bekerja dan tidak berduit. Akhirnya hidup mereka semakin susah dan terhimpit.’’ Itu cerita Mimi dari pengalaman pahitnya berurusan dengan dengan Mahkamah Syariah dalam membuat tuntutan nafkah, belum masuk lagi tuntutan harta sepencarian, apa lagi mutaah.











