IPOH 7 Nov. – Belanjawan 2019 bagi negeri Perak yang bakal dibentangkan dalam Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) pada 27 November ini, akan difokuskan kepada kebajikan rakyat.
Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata, pihaknya akan mencari jalan untuk memberi bantuan kepada masyarakat memerlukan dengan cara lebih bersesuaian.
“Pentadbiran sebelum ini memberi wang sagu hati dan ada pihak membelanjakannya untuk perkara kurang penting. Misalnya, dapat duit untuk bantu beli makanan tetapi beli rokok yang tentunya membahayakan kesihatan.
“Jadi, pentadbiran kita akan cari jalan. Kalau kita bagi makanan, bagi makanan yang perlu. Jangan terlalu banyak gula contohnya, perkara yang asas, beras dalam satu bentuk yang akan saya umumkan dalam pembentangan belanjawan nanti,” katanya selepas menyaksikan majlis menandatangani memorandum persefahaman (MoU) antara kerajaan negeri dan AmBank Islamic bagi memudahkan kutipan cukai tanah melalui JomPAY di Bangunan Perak Darul Ridzuan, di sini hari ini.
Yang turut hadir, Ketua Pegawai Eksekutif, AmBank Islamic, Eqhwan Mokhzanee.
Dalam perkembangan berlainan, Ahmad Faizal berkata, selain Larian Hari Keputeraan Sultan Perak 2018 yang berlangsung di Kuala Kangsar pada 11 November ini bermula pukul 7 pagi, kerajaan negeri juga menganjurkan majlis rumah terbuka Deepavali di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Buntong, Ipoh pada hari sama pada pukul 3 petang.
“Saya menjemput rakyat untuk bersama menyambut Hari Keputeraan Sultan Perak dengan penuh meriah kerana di sana kita meraikan kejayaan pasukan bola sepak kita yang berjaya membawa pulang Piala Malaysia selepas 18 tahun.
“Begitu juga dengan kejayaan pasukan hoki yang berjaya membawa pulang Piala Razak dan pasukan bola sepak Sukma yang berjaya mengekalkan pingat emas untuk tiga kali (penganjuran) Sukan Malaysia (Sukma) berturut-turut,” katanya.










