KUALA LUMPUR 2 Nov. – Kerajaan berdepan cabaran bagi memastikan Belanjawan 2019 dilaksanakan dengan baik dan mampu bertindak balas terhadap perubahan keadaan pasaran dengan pantas.
Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Maybank, Datuk Abdul Farid Alias berkata, belanjawan tersebut dirancang untuk menyemarakkan pertumbuhan negara pada ketika negara berdepan dengan ketidaktentuan dalam perang dagangan melibatkan Amerika Syarikat (AS) dan China.
Dalam masa sama, kerajaan juga perlu memberi fokus kepada rakyat terutama golongan B40 dan memastikan hala tuju yang betul ke arah defisit fiskal sifar.
“Bagaimanapun, sasaran defisit kerajaan adalah sejajar dengan unjuran kami, melebihi tiga peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) iaitu 3.7 peratus tahun ini dan 3.4 peratus pada 2019.
“kami lihat ini adalah situasi sementara memandangkan kerajaan komited untuk mengurangkan nisbah tersebut kepada tiga peratus pada 2020 dan 2.8 peratus pada 2021 dengan sasaran tempoh sederhana, dua peratus,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Belanjawan 2019 bertemakan “Malaysia Wibawa, Ekonomi Dinamik, Rakyat Sejahtera” menumpukan kepada tiga fokus dengan 12 strategi utama bagi mengembalikan kedudukan ekonomi Malaysia sebagai Harimau Asia.
Abdul Farid yang juga Pengerusi Persatuan Bank-bank di Malaysia berkata, sektor hartanah meraih manfaat paling dalam belanjawan kali ini dengan pelbagai pendekatan dilaksanakan daripada peruntukan spesifik untuk bekalan dan pembiayaan untuk pembeli rumah kali pertama.











