Bekas ketua gengster ditembak mati - Utusan Malaysia

Bekas ketua gengster ditembak mati

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

COPENHAGEN 21 Nov. – Bekas ketua kumpulan gengster Denmark yang menghasilkan memoir bagaimana dia meninggalkan dunia jenayah, ditembak mati sehari selepas buku itu dilancarkan, kelmarin.

BBC melaporkan, Nedim Yasar, 31, ditembak selepas dia beredar dari majlis pelancaran bukunya bertajuk Roots: A Gangster’s Way Out di sini.

Menurut polis, penyerang berjaya melarikan diri dengan berjalan kaki.

Yasar kemudian di­ke­­jarkan ke hospital, namun meninggal dunia akibat kecederaannya.

Jabatan Polis Copenhagen dalam satu kenya­taan berkata, semasa kejadian pada kira-kira pukul 7.30 malam waktu tempatan itu, seorang suspek memakai pakaian gelap menembak Yasar seba­nyak dua kali.

Tambah kenyataan itu, siasatan mengenai insiden berkenaan sedang dijalankan dan polis mencari saksi yang dapat membantu menyelesaikan kes tersebut.

Bekas ketua kumpulan Los Guerreros itu mendakwa dia pernah menjadi mangsa cubaan bunuh tahun lalu.

Yasar yang dilahirkan di Turki dan berhijrah ke Denmark semasa berusia empat tahun mengetuai kumpulan gengster di Copenhagen yang terkenal dengan kegiatan urus niaga dadah.

Dia bagaimanapun keluar daripada kumpulan Los Guerreros pada 2012 dan menyertai program pemulihan selepas mendapati dia bakal menjadi seorang bapa.

Yasar kemudian menjadi men­tor bagi belia dan berjaya mencipta nama sehingga mempunyai rancangan di sebuah radio tempatan, Radio24syv.

Ekoran kematian Yasar, ste­sen itu memuat naik hantaran di Twitter yang menunjukkan bangunan pejabat premis ber­kenaan mengibarkan bendera Denmark separuh tiang sebagai menghormati lelaki tersebut.

Memoir Roots: A Gangster’s Way Out ditulis oleh Marie-Louise Toksvig yang menggambarkan perjalanan Yasar ketika dia menarik diri daripada dunia jenayah.

Menteri Kehakiman Denmark, Soren Pape Poulsen se­­mentara itu menyifatkan ke­matian Yasar sebagai menyedihkan dan tidak bermakna.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN