KUALA LUMPUR 31 Okt. – Seorang bapa tergamak mencabul tiga anak perempuannya termasuk seorang bayi berusia setahun sejak tahun lalu.
Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Ahmad Dzaffir Mohd. Yussof berkata, pihaknya menerima laporan daripada ibu mangsa berusia 32 tahun pada 23 Oktober lalu yang tiga anak perempuannya berusia lima, tiga dan satu tahun disyaki telah dicabul oleh suaminya di rumah mereka di Semenyih, Kajang, dekat sini.
Katanya, siasatan awal oleh Bahagian Siasatan Seksual, Penderaan dan Kanak-kanak (D11) daerah mendapati, nenek mangsa telah memaklumkan kepada pengadu bahawa anak perempuannya berusia tiga tahun memberitahu suspek telah memasukkan jari ke dalam kemaluan dan dubur mangsa.
“Anak perempuan mangsa berusia lima tahun turut memberitahu pernah diperlakukan perkara yang sama oleh suspek dan turut memaklumkan pernah ternampak suspek melakukan perkara itu terhadap adiknya yang berusia setahun.
“Tahun lalu, mangsa yang berusia tiga tahun pernah memberitahu neneknya bahawa kemaluannya sakit kena cucuk oleh suspek tetapi ketika itu tiada siapa yang mempercayainya. Ibu mangsa membawanya menjalani pemeriksaan di hospital namun tidak menemukan sebarang kesan mencurigakan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Ahmad Dzaffir berkata, ketiga-tiga mangsa telah dirujuk ke Hospital Kajang dan hasil pemeriksaan Doktor Pakar Obstetrik dan Ginekologi mendapati terdapat kesan koyakan lama pada kemaluan ketiga-tiga mangsa namun tiada kesan koyakan di bahagian dubur.
“Suspek ditahan di tempat kerjanya di Sungai Long pada pukul 11.45 pagi, Khamis lalu.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 376(b) Kanun Keseksaan,” katanya.











