Bantahan besar-besaran di Perancis - Utusan Malaysia

Bantahan besar-besaran di Perancis

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PARIS – Penunjuk perasaan Perancis yang berang de­ngan kenaikan cukai bahan api bertindak menyekat akses kepada tiga depot minyak termasuk dua yang di­uruskan oleh Total, kata syarikat berkenaan. Tindakan itu dilakukan ketika bantahan terhadap dasar ekonomi Presiden Emmanuel Macron masuk hari ketiga semalam.

Beribu-ribu orang menyertai demonstrasi di lebuh-lebuh raya pada hujung minggu lalu, mengakibatkan kesesakan trafik yang teruk dengan sebilangan kemalangan berlaku termasuk satu kematian di sekatan jalan.

Perdana Menteri Perancis, Edouard Philippe berkata kelmarin bahawa pemerintah akan bertegas berhubung rancangan menaikkan cukai bahan api bermula 1 Januari tahun depan.

Dua depot itu dengan satu daripadanya terletak di Vern, dekat bandar Rennes dan sebuah lagi di Fos-sur-Mer, selatan Perancis dikendalikan oleh Total, kata jurucakap syarikat minyak tersebut.

“Akses kepada depot ketiga di La Rochelle yang sebahagiannya milik Total juga disekat,” katanya.

Kemarahan terhadap kenaikan cukai bahan api itu berlaku ketika kuasa membeli rakyat Perancis semakin terbatas dan perasaan tidak puas hati terhadap Macron meningkat. Sebahagian penduduk menuduh Presiden Perancis itu memihak kepada golongan kaya dalam program ekonominya.

Pada Satu lepas, kira-kira 280,000 orang menyertai protes tersebut, demikian menurut Kementerian Dalam Negeri dengan sebilangan tunjuk perasaan bertukar ganas.

Kira-kira 160 orang ditangkap dan lebih 400 lain cedera dalam pertempuran rambang dengan polis.

Sementara itu, penganjur demonstrasi itu berjanji akan meneruskan gerakan tersebut sehinggalah pemerintah membatalkan cukai berkenaan. – Reuters

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×