Banjir: Bantuan khas RM500 untuk 302 keluarga - Utusan Malaysia

Banjir: Bantuan khas RM500 untuk 302 keluarga

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA 21 Nov. – Kerajaan negeri hari ini mengumumkan bantuan sebanyak RM500 akan diberikan kepada 302 keluarga yang terlibat dengan bencana banjir di negeri ini sejak Isnin lalu.

Ketua Menteri, Adly Zahari berkata, peruntukan yang keseluruhannya berjumlah RM151,000 itu telah diluluskan hari ini dan dijangka akan diagih-agihkan kepada semua mangsa mulai esok.

Menurut beliau, jika sebelum ini, bantuan yang diberikan berbeza jumlahnya tetapi kali ini kerajaan memberikan peruntukan yang sama rata selepas melihat kerosakan yang dihadapi mangsa berikutan rumah dan peralatan yang terjejas.

“Kerajaan negeri telah bersetuju supaya setiap keluarga menerima bantuan berjumlah RM500. Kelulusan peruntukan itu dicapai hari ini dan mereka bakal menerima wang bantuan itu paling awal esok.

“Bantuan khas ini disalurkan menerusi Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) negeri dan saya meminta kesemua mangsa mendaftar dengan JKM di pusat-pusat pemindahan sementara selain membuat laporan polis untuk pengesahan mangsa bencana,” katanya dalam sidang akhbar selepas mempengerusikan mesyuarat Exco kerajaan negeri di pejabatnya di Seri Negeri, di sini sebentar tadi.

Menurut Adly, banjir yang melanda beberapa kawasan di Alor Gajah dan Melaka Tengah sehingga kini melibatkan sebanyak 1,081 orang mangsa daripada 302 buah keluarga.

Bagaimanapun, sehingga pukul 4 petang ini, jumlah mangsa banjir yang dipindahkan di beberapa pusat pemindahan sementara semakin berkurang apabila hanya melibatkan 274 penduduk daripada 74 buah keluarga.

Adly berkata, kerajaan negeri akan memberi keutamaan kepada kebajikan mangsa dan bantuan pasca banjir serta berharap orang ramai menjaga keselamatan serta mematuhi amaran ribut yang dikeluarkan pihak berkuasa kerana cuaca ketika ini masih tidak menentu.

Sementara itu, Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri, Leftenan Kolonel (PA) Effendy Ali berkata, jumlah mangsa banjir berkurangan dengan tujuh pusat pemindahan sementara telah ditutup setakat pukul 4 petang ini.

Kata beliau, kesemua mangsa itu masih ditempatkan di dewan Jawatankuasa Penyelaras dan Pembangunan Dewan Undangan Negeri (Japerun) Durian Tunggal, Alor Gajah.

Menurutnya, orang ramai dinasihatkan supaya berhati-hati terutama di kawasan banjir dan peka dengan amaran ribut petir, hujan lebat dan angin kencang yang dikeluarkan oleh Jabatan Meteorologi Malaysia. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN