KUALA LUMPUR 27 Nov. – Masalah pengawalan harga ikan membabitkan orang tengah dijangka mampu diselesaikan selepas ini menerusi pengenalan aplikasi mudah alih yang diperkenalkan Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM).
Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Salahuddin Ayub berkata, aplikasi yang dinamakan sebagai Risikan Harga Ikan itu menjadi sumber rujukan rakyat bagi membuat perbandingan membabitkan sebanyak 20 spesies ikan di 15 pasar borong dan 40 pasar runcit seluruh negara.
Selain itu, katanya, aplikasi tersebut juga dapat memastikan peniaga mengikut harga yang ditetapkan agensi itu, sekali gus mengelakkan penipuan.
“Inisiatif ini merupakan sebahagian langkah mengelakkan masalah orang tengah dan platform bagi memastikan peniaga mematuhi harga yang ditetapkan.
“Malah, pengguna juga boleh membuat perbandingan harga. Kita akan mengadakan perbincangan dengan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna untuk tindakan selanjutnya selepas ini jika ada peningkatan harga yang melampau,” katanya selepas pelancaran aplikasi tersebut dalam Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agro Pelancongan Antarabangsa (MAHA) 2018, di sini hari ini.
Antara jenis ikan yang dipaparkan menerusi aplikasi itu termasuklah kembung, kerisi, selar, cencaru dan siakap.
Dalam pada itu, Salahuddin berkata, pengguna boleh melaporkan peningkatan harga ikan yang mendadak kepada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna dengan menjadikan aplikasi itu sebagai platform rujukan.










