KUALA LUMPUR 22 Nov. – Polis akan memanggil Presiden Jaringan Melayu Malaysia (JMM), Datuk Azwanddin Hamzah berhubung tulisannya yang bertajuk ‘Kementerian Pertahanan kini berada dalam tekanan dan ancaman’ dalam blog pertubuhan bukan kerajaan (NGO) tersebut.
Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Noor Rashid Ibrahim berkata, Azwanddin mendakwa rahsia-rahsia dalam negara telah banyak dibocorkan dan perkara ini boleh menjejaskan keselamatan negara.
“Saya melihat isu ini dari segi keselamatan negara kerana ia di bawah bidang Akta Rahsia Rasmi dan pada masa sama saya juga melihat di bawah isu berita-berita tidak benar yang dikeluarkan serta boleh menjejaskan keselamatan negara.
“Maka kami akan memanggil penulis tersebut dan mendapatkan penjelasan daripadanya sama ada dakwaan ini benar dan daripada manakah maklumat tersebut diperoleh,” katanya.
Beliau berkata demikian pada majlis serah terima tugas serta pemakaian pangkat pegawai kanan dan penganugerahan pingat jasa di Pusat Latihan Polis ( Pulapol) Kuala Lumpur di sini hari ini. – UTUSAN ONLINE










