KUALA LUMPUR 23 Nov. – Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengingatkan PKR Cabang Rembau, Negeri Sembilan supaya mengikut saluran yang telah ditetapkan oleh parti apabila mahu mengemukakan calon lain selain Dr. S. Streram untuk bertanding dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau, jika diadakan.
Anwar berkata, beliau sebelum ini telah memberi peringatan dalam Kongres PKR di Shah Alam, Selangor pada hujung minggu lalu bahawa segala hal ehwal parti perlu dibincangkan dan diselesaikan mengikut saluran yang betul.
“Cabang boleh bagi pandangan, (tetapi) perlu ikut saluran. Saya sudah beri peringatan supaya ikut saluran.
“Cabang boleh beri pandangan, PKR negeri boleh beri pandangan, Biro Politik boleh beri pandangan dan kita akan putuskan,” katanya kepada pemberita selepas menyampaikan Syarahan Za’ba 2018 di Akademi Pengajian Melayu, Universiti Malaya di sini sebentar tadi.
Ketua Cabang PKR Rembau, R.Tanggam dilaporkan berkata pihaknya telah bersetuju untuk meletakkan Ketua Wanita Cabang tersebut, A. Bathmavathy untuk bertanding di PRK tersebut terutama kerana calon itu merupakan anak tempatan.
Anwar sebelum ini membayangkan untuk mencalonkan semula Dr. Streram, yang pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) tidak dapat bertanding kerana tidak memiliki pas yang dikeluarkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) untuk masuk ke pusat penamaan calon pada 28 April.
Keadaan itu membuatkan Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan menang tanpa bertanding di DUN tersebut, namun minggu lalu kemenangannya diputuskan tidak sah dan terbatal oleh Mahkamah Khas Pilihan Raya. – UTUSAN ONLINE










