SEJAK landskap politik berubah selepas keputusan pilihan raya yang mengejutkan kerajaan Barisan Nasional (BN) berusia 61 tahun tumbang, parti-parti di bawah perikatan itu kehilangan arah, ekoran ikatan semakin longgar dan hampir terlerai.
Kini politik negara memasuki peringkat `alam barzah’. Parti yang tumbang pada pilihan raya lalu seolah-olah telah ditalkin dan kini perlu menjawab segala soalan di alam barzah dan setiap soalan yang gagal dijawab dengan betul akan dihukum oleh sebatan cemeti rakyat dan pemerintah.
Ada sesetengah parti ibarat roh yang tidak diterima bumi dan langit serta masih terawang-awang hingga menjadi entiti asing yang kewujudan semakin tidak disedari, walaupun sesekali ia muncul seperti hantu momok yang masih mampu membuatkan musuh terasa kehadirannya dan kadang kala menyebabkan meremang bulu roma.
Parti Gerakan contohnya antara yang mengambil paling awal membebaskan diri daripada ikatan tersebut dan hilang di alam barzah.
Sejak itu juga parti berkenaan semakin hilang daripada radar perdana politik negara, sehingga kewujudannya juga mulai menjadi tanda tanya, kalau sudah berkubur di mana batu tanda serta kuburnya.
Melihat lemahnya lawan dari asal kelahirannya Pulau Mutiara itu, Pengerusi DAP Pulau Pinang, Chow Kon Yeow menganggap Gerakan bukan lagi ancaman kepada pemerintah terkini iaitu Pakatan Harapan (PH), walaupun sebenarnya kenyataan itu berbaur rasa seram.
Kenyataan itu juga telah membangkitkan kembali parti Gerakan yang selama ini diam.

Ahli Jawatankuasa Parti Gerakan Negeri Pulau Pinang, H. Puvaniten ketika dihubungi menjawab persoalan itu menyelar kenyataan Kon Yeow.
Puvaniten berkata, Gerakan masih relevan kedudukannya dan tidak ketinggalan di dalam arena politik negara walaupun sudah keluar dari Barisan Nasional pada Jun lepas.
Puvaniten tekankan jangan kerajaan PH melihat disebabkan parti itu keluar dari Barisan Nasional ini tidak bermakna Parti Gerakan tidak relevan lagi dan tidak mencabar kerajaan Pakatan Harapan lagi untuk menakluk kembali negeri Pulau Pinang.
Puvaniten menggesa Kerajaan Pakatan Harapan untuk melihat kembali sejarah perjuangan Parti Gerakan sebagai sebuah parti bebas yang sebelum ini berjaya menakluki Pulau Pinang. Ia sudahpun terbukti di dalam sejarah Pulau Pinang.
“Jangan lupa perjuangan tokoh-tokoh penting di dalam sejarah perjuangan Pulau Pinang seperti Professor Syed Husin Al-Atas dan Tun Dr. Lim Chong Eu sehingga tahun 1971 sebelum menyertai Perikatan bersama UMNO, MIC dan MCA.
Walaupun Gerakan gagal mempertahankan sebarang kerusi di Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14), ia bukan bermakna parti itu sudah tidak relevan dalam arus politik negara.
Menurut Puvaniten, Parti Gerakan sentiasa komited dalam memperjuangkan kepentingan rakyat.
Mungkin PRU-14, kerajaan Pakatan Harapan menjadi pilihan rakyat dan ia masih awal lagi untuk mereka mengeluarkan kenyataan seumpama itu bahawa Gerakan tidak lagi akan menjadi ancaman.
PRU-15 belum tentu lagi sama ada keputusan berpihak kepada mereka. Politik Malaysia bukan seperti dahulu. Cabaran demi cabaran kita tempuhi setiap hari berikutan penyertaan masyarakat yang aktif di dalam diskusi politik negara.
Keputusan PRU-14 merupakan isyarat bahawa sesebuah parti politik dan pucuk pimpinan perlu memahami kehendak dan hasrat rakyat. Rakyat sekarang semakin bijak dalam membuat pilihan.
Semua pemimpin terpaksa bekerja keras mengikut indeks prestasi masing-masing kerana rakyat akan membuat penilaian dan menentukan kerajaan mana yang mampu memberi kebaikan kepada mereka
Pada 17 November 2018 lepas, Parti Gerakan Malaysia telah bangkit semula dengan tema ‘Permulaan Baharu’ demi menghadapi cabaran budaya politik semasa.
Parti ini akan adaptasi perubahan-perubahan di peringkat pucuk kepemimpinan parti malah di setiap lapisan kepimpinan mengikut rentak landskap budaya politik negara.
Kepemimpinan parti Gerakan bersedia dengan cabaran dan budaya politik baharu Malaysia. Politik sekarang bukan politik 60 tahun dahulu kerana Malaysia telah mengalami satu perubahan yang agak drastik selepas PRU-14.
Kita melihat bagaimana kematangan pengundian dan kebangkitan peranan masyarakat sivil selepas era BN.
Apa yang kita lihat, perjuangan asas iaitu meletakkan kepentingan rakyat melebihi kepentingan pemimpin di samping pemimpin yang bersikap terbuka dan sentiasa untuk dikritik.
Selamat berjuang buat Gerakan. Parti yang memperjuangkan nasib rakyat sebenarnya tidak pernah luput perananannya dan akan sentiasa relevan.










