MUMBAI 22 Nov. – Aktor terkemuka, Amitabh Bachchan diangkat sebagai hero selepas sudi melunaskan hutang 1,398 petani yang bernilai 438,000 pound (RM2.3 juta) di kampung halamannya di negeri Uttar Pradesh.
Lapor Mail Online, krisis pertanian yang berterusan menyebabkan petani terkesan dengan kejatuhan harga komoditi, ketidakstabilan upah, harga minyak serta peningkatan kos baja.
Menurut Amitabh menerusi blognya minggu ini, beliau merasakan bantuannya itu merupakan satu ‘pencapaian’.
“Penghargaan berteraskan keinginan untuk melunaskan bebanan dialami oleh petani dan ketenangan dalam diri berjaya dicapai selepas niat itu dilaksanakan,” tulisnya.
Krisis pertanian telah mencetuskan protes di seluruh negara pada tahun ini, menuntut pengecualian pinjaman dan harga lebih baik untuk pengeluaran.
“Ini adalah masalah yang sangat besar sehingga menyebabkan petani di seluruh negara mengalami kesulitan.
“Dasar kerajaan adalah kurang betul dan memerlukan penambahbaikan. Kami berjuang untuk perubahan tetapi sangat bersyukur sekiranya bantuan dihulurkan kepada kami,” kata jurucakap Kesatuan Petani India, Rakesh Tikait menerusi panggilan telefon.
Tambah Rakesh, langkah Amitabh itu mungkin menjadi suatu simbolik tetapi sangat bermakna untuk kebanyakan petani yang berjuang untuk meneruskan kehidupan seharian.










