KUALA LUMPUR 12 Nov. – Pihak berkuasa perlu membuat perancangan jangka masa panjang melalui kaedah pelaksanaan yang lebih sempurna bagi mengatasi isu jalan raya rosak di negara ini.
Aktivis masyarakat, Tan Sri Lee Lam Thye berkata, kegagalan pihak berkuasa menangani masalah jalan rosak bukan isu baharu kerana punca-puncanya sudah lama dikenal pasti antaranya kualiti turapan yang terlalu rendah.
Jelasnya, beliau menyifatkan kegagalan kontraktor pembinaan jalan raya di negara ini mematuhi prosedur operasi standard yang ditetapkan menyebabkan kualiti turapan di kebanyakan kawasan tidak bertahan lama.
“Segelintir kontraktor hanya mahu melakukan kerja dengan cepat tanpa mengambil kira kesan jangka panjang yang akhirnya memberi masalah kepada pengguna.
“Jika ia tidak ditampal dengan betul dengan kualiti yang bagus, isu jalan berlubang akan terus berulang,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Beliau mengulas laporan akhbar ini berhubung jalan rosak di Jalan Desa Cheras baru-baru ini yang berpunca daripada tindakan kontraktor menampal turapan lama tanpa mengorek bahagian bawah menyebabkan strukturnya mudah merekah dan mudah mengalami kerosakan.
Tambah Lam Thye, kualiti turapan yang baik bukan sahaja mengurangkan kos penyelenggaraan tetapi dapat memanjangkan hayat jalan raya untuk jangka masa panjang.











