KUALA LUMPUR 20 Nov. – Pergerakan Pemuda UMNO Wilayah Persekutuan membuat laporan polis berhubung kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Senator P. Waytha Moorthy yang didakwa mengganggu keharmonian negara.
Ketua Pergerakannya, Mohamed Nizham Abdullah Hamidi berkata, usaha Waytha Moorthy untuk meratifikasi Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD) juga perlu diambil tindakan segera dari kerajaan.
“Waytha Moorthy telah memburukkan nama Malaysia di luar negara dan perkara itu membuka laluan untuk pihak luar mengambil kesempatan terhadap negara.
“Isu perkauman dan usaha meratifikasi ICERD yang dibawa adalah sesuatu yang sangat jelik,” katanya ketika ditemui selepas selesai membuat laporan polis di Ibu pejabat Polis Daerah Dang Wangi, di sini hari ini.
Jelas Mohamed Nizham, selama ini negara menjunjung Perlembagaan Persekutuan dan sosial kontrak yang dipersetujui bersama.
Dakwanya, majoriti rakyat tidak bersetuju dengan kenyataan Waytha Moorthy dan setakat ini, sudah lebih 100 laporan polis dibuat berkenaan isu tersebut.
“Sebab itu kerajaan perlu serius dengan isu ICERD dan mengambil tindakan tegas terhadap Moorthy,” jelasnya. – UTUSAN ONLINE










