KUALA LUMPUR – AirAsia menggesa pelanggannya untuk menempah penerbangan mereka melalui saluran rasmi AirAsia untuk mengelakkan mereka daripada ditipu.
Dalam satu kenyataan hari ini, syarikat penerbangan tambah murah itu berkata, orang ramai boleh membeli tiket mereka melalui saluran jualan rasminya, iaitu www.airasia.com, aplikasi mudah alih AirAsia, ejen perjalanan sah dan pusat pelancongan dan perkhidmatan AirAsia.
“AirAsia tidak akan bertanggungjawab terhadap sebarang tuntutan yang timbul daripada skim palsu dan kami tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap individu atau kumpulan yang menganjurkan skim haram menggunakan jenama AirAsia,” katanya.
Ia berkata, sekiranya orang ramai mempunyai keraguan atau ingin melaporkan penipuan yang disyaki melibatkan AirAsia, mereka boleh berhubung dengan syarikat penerbangan itu melalui saluran komunikasi rasmi iaitu Facebook, Twitter dan AskAirAsia di www.airasia.com/ask. – Bernama











