Ahmad Zahid dan Waytha Moorthy akan dipanggil beri keterangan berhubung isu perkauman - Utusan Malaysia

Ahmad Zahid dan Waytha Moorthy akan dipanggil beri keterangan berhubung isu perkauman

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR – Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan memanggil sembilan individu termasuk Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, P. Waytha Moorthy memberikan keterangan berhubung isu tular di media sosial baru-baru ini yang menimbulkan kegelisahan dalam masyarakat.

Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Noor Rashid Ibrahim berkata, individu lain yang turut dipanggil adalah Presiden Jaringan Melayu Malaysia, Datuk Azwanddin Hamzah, Pengerusi Gabungan 3, S. Ragvinder, Timbalan Pengerusi Gabungan 3, Amran Ahmad Nor, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanah Rata, Chiong Yoke Kong, ADUN Tras, Chow Yu Hui,Lau Shan Thean dan Muhamad Edi Mohamad Riyars atau Edi Rejang.

“Terdapat lebih 160 laporan polis yang diterima melibatkan pelbagai kenyataan yang menyentuh sentimen perkauman dan sensitiviti keagamaan di dalam negara.

“Beberapa kertas siasatan telah dibuka di bawah Seksyen 504, 505 dan 506 Kanun Keseksaan,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman di sini hari ini.

Noor Rashid menambah, keperluan untuk memanggil mereka adalah hasil analisa polis bahawa terdapat rasa kebimbangan dan tidak puas hati daripada laporan-laporan tersebut.

“Zahid dipanggil kerana kami menerima laporan polis yang mengaitkan beliau berhubung perkara berkaitan seperti yang disebutkan.

“Mereka akan dipanggil dalam masa terdekat untuk memberikan kenyataan,” ujarnya. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN