KUALA LUMPUR 1 Nov. – Tenaga Nasional Bhd. (TNB) mengumumkan pelantikan Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Datuk Ahmad Badri Mohd. Zahir sebagai Pengarah Bukan Bebas Bukan Eksekutif syarikat berkuat kuasa hari ini.
TNB berkata, Ahmad Badri merupakan lulusan Sarjana Pentadbiran Perniagaan dari University of Hull, United Kingdom dan turut memiliki Diploma Lanjutan (Pengurusan Ladang) daripada Institut Teknologi Mara (ITM) .
Beliau berkhidmat dalam perkhidmatan awam selama 29 tahun selepas menyertai Perkhidmatan Tadbir dan Diplomatik (PTD) pada 1 Ogos 1989.
“Ahmad Badri juga berpengalaman Iuas dalam bidang pengurusan ekonomi dan kewangan termasuk pernah menjawat pelbagai jawatan di Kementerian Kewangan termasuk Pengarah di Pejabat Belanjawan Negara; Setiausaha Bahagian, Bahagian Pelaburan Strategik dan Timbalan Setiausaha Bahagian, Seksyen Pembiayaan, Bahagian Pengurusan Pinjaman, Pasaran Kewangan dan Aktuari,” katanya dalam kenyataan di Bursa Malaysia di sini hari ini.
Ahmad Badri Mohd. Zahir, 58, dilantik sebagai Ketua Setiausaha Perbendaharaan pada 12 September lalu.











