TANJUNG MALIM – Bergelar genius pada usia enam tahun sehingga menggemparkan negara kerana mampu menyelesaikan pelbagai masalah matematik membuatkan banyak pihak membuat telahan awal bahawa kanak-kanak bernama Adi Putra Abdul Ghani (gambar kecil) bakal bergelar seorang yang berjaya bukan sahaja untuk dirinya malah negara.
Bahkan, beberapa pihak berpandangan, kepintaran luar biasa Adi Putra yang ditonjolkan ketika itu dianggap bakal mengubah landskap pendidikan negara terutamanya dalam bidang matematik.
Bagaimanapun, segala andaian yang dibuat berdasarkan bakat semula jadi Adi Putra jauh meleset apabila remaja genius yang kini berusia 19 tahun itu mengakui modul pendidikan yang diikutinya suatu ketika dahulu disifatkan sebagai gagal melonjakkan dirinya dalam pembelajaran seperti yang dicita-citakannya.
Lebih mengejutkan, remaja dari Bagan Serai, Perak itu tidak mempunyai sijil sah pengajian di peringkat sekolah mahupun universiti termasuk A Level yang diikutinya di Kolej Matrikulasi Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) lebih sedekad lalu.
Dia yang mengikuti pendidikan sekolah swasta dan pengajian peringkat A Level secara serentak sekitar tahun 2009 menyifatkan program pembangunan pendidikan untuk dirinya itu gagal kerana dibebankan dengan banyak tugasan dan subjek berat.
Adi Putra meluahkan, pada usia sembilan tahun, dia terpaksa mengikuti lima subjek iaitu Fizik, Biologi, Kimia, Matematik dan Matematik Tambahan di UIAM di samping 10 subjek lain di sekolah.
“Program pendidikan tersebut sama sekali gagal untuk saya ikuti kerana selain perlu menghadiri kelas di sekolah dan kuliah di universiti, saya juga terbeban dengan banyak tugasan yang perlu disiapkan dalam tempoh tertentu.
“Saya juga menghadapi cabaran dari segi kewangan kerana tidak mampu menanggung perbelanjaan pengajian dan perlu mengeluarkan duit sendiri untuk tujuan berkenaan,” katanya ketika ditemui Kosmo! di sini baru-baru ini.
Ikuti berita selanjutnya di KOSMO! hari ini.










