MELAKA – Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) mencadangkan agar penagih dadah termasuk golongan remaja yang menyerah diri untuk menjalani proses pemulihan tidak akan disenaraikan dalam rekod jenayah berkenaan.
Timbalan Ketua Pengarah (Dasar) AADK, Dr. Sabri Zainudin Zainul berkata, inisiatif berkenaan bertujuan menggalakkan lebih ramai penagih dadah mendapatkan rawatan sekali gus sebagai pencegahan awal melepaskan diri mereka daripada belenggu dadah.
Beliau berkata, ia juga memberi peluang kedua dan melindungi penagih dadah khususnya remaja agar masa hadapan mereka tidak terjejas dengan rekod berkenaan.
“Cadangan ini akan diusulkan Ketua Pengarah AADK kepada kerajaan dalam masa terdekat selepas dibincangkan di peringkat jawatankuasa peringkat daerah negeri.
“Kita menggalakkan golongan ini terutama remaja atau pelajar sekolah untuk menyerah diri bukan untuk dihukum tetapi dibantu agar bebas daripada belenggu dadah,” katanya ketika ditemui pada Program Kayuhan Perdana Perangi Dadah Habis-habisan anjuran AADK di sini, hari ini. -Bernama










