KUALA LUMPUR – Hajat sekumpulan penjenayah berjoli dengan barang kemas yang dirompak dari kedai emas Nexigold & Jewellery di Pasar Raya NSK, Jalan Kuchai Lama di sini semalam tidak kesampaian apabila lima daripada enam perompak itu mati ditembak polis.
Empat daripada lima perompak itu mati ditembak di pintu utama pasar raya tersebut manakal seorang lagi ditembak mati dalam kereta Mercedes iaitu kira-kira 400 meter dari lokasi rompakan.
Polis turut menahan seorang lagi perompak yang keluar bersama empat rakannya yang mati ditembak di pintu pasar raya tersebut.
Kepantasan polis menumpaskan kumpulan penjenayah itu membawa kepada penemuan semula barang kemas yang dirompak daripada empat kakitangan kedai emas Nexigold & Jewellery yang beroperasi di tingkat bawah pasar raya dua tingkat itu.
Semua yang mati ditembak dan ditangkap adalah lelaki-lelaki berketurunan India.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Seri Mazlan Lazim berkata, rompakan itu berlaku pada pukul 4.45 petang dan semasa kejadian kedai emas tersebut tiada pelanggan.
Menurut beliau, secara tiba-tiba lima lelaki yang kesemuanya memakai topi keledar menutup muka memasuki kedai emas tersebut sebelum mereka mengugut pekerja supaya menyerahkan barang kemas.
“Kerana takut, pekerja di kedai emas itu mengikut arahan penjenayah berkenaan dengan memasukkan barang berharga ke dalam beg yang dibawa penjenayah. Selepas memperoleh sejumlah barang kemas, lima penjenayah berkenaan beredar dengan pantas menuju ke sebuah kereta jenis Perodua Myvi yang diletakkan di tempat letak kenderaan pasar raya tersebut,” kata beliau di lokasi kejadian semalam.
Bagaimanapun, Mazlan memberitahu, belum sempat kelima-lima lelaki itu memasuki kereta Myvi, kumpulan itu dipintas sepasukan polis yang menerima maklumat mengenai kejadian itu.
“Anggota polis terpaksa berbalas tembakan dengan kumpulan penjenayah itu sebelum ia berakhir dengan empat mati ditembak di pintu depan pasar raya, seorang diberkas manakala seorang lagi ditembak mati dalam kereta Mercedes,” ujarnya.
Mengulas lanjut, beliau berkata, lelaki yang mati ditembak dalam kereta Mercedes tersebut cuba melarikan diri tetapi berjaya dipintas dan ditembak mati.
“Lelaki itu dipercayai menunggu lima rakannya masuk ke pasar raya itu untuk merompak,” jelasnya.
Mazlan memberitahu, pemeriksaan pada badan empat mayat yang mati di depan pasar raya itu menemui beg berisi barang kemas, dua pucuk pistol, sebilah kapak dan parang.
Dalam masa sama, katanya, seorang anggota polis turut cedera di lutut dan kini dirawat di Pusat Perubatan Universiti Malaya akibat terkena tembakan rambang dalam kejadian itu.
“Sebelum merompak, orang ramai mendakwa mereka melihat dua buah kereta dinaiki beberapa lelaki memakai topi keledar berlegar-legar di sekitar pasar raya itu,” ujarnya.
Polis kini sedang meneliti rakaman televisyen litar tertutup (CCTV) di kedai tersebut dan turut mengambil keterangan pemiliknya bagi mengetahui lebih lanjut mengenai kejadian tersebut.
Pada Jun 2017, kedai emas tersebut dikatakan pernah dirompak.










