KUALA LUMPUR 21 Nov. – Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani telah melaksanakan proses pemutihan kepada 40,000 daripada 54,000 nelayan di negara ini bagi memastikan jumlah sebenar kelompok itu untuk penyaluran bantuan yang lebih telus.
Menterinya, Datuk Salahuddin Ayub berkata, gerak kerja yang telah dimulakan pada bulan Mei lalu kini masih berjalan untuk mengesan individu-individu yang memperoleh lesen atas kapasiti politik.
“Menjelang Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14), ada satu skim untuk beri sahaja lesen kelas A kepada orang yang meminta dengan motif pilihan raya. Ini kita hendak betulkan, kita tidak mahu ketirisan berlaku.
“Adalah menjadi tanggungjawab saya untuk memastikan nelayan dapat bantuan secukupnya. Kerajaan akan memutih bersihkan senarai nelayan dan pastikan mereka adalah nelayan tulen,” katanya dalam sidang akhbar selepas melakukan Media Tour sempena Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agro Pelancongan Antarabangsa (MAHA) 2018 di Taman Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS) Serdang dekat sini hari ini.
Yang turut hadir Timbalan Menterinya, Sim Tze Tzin. – UTUSAN ONLINE










