2 maut selepas langgar lembu, digilis kereta - Utusan Malaysia

2 maut selepas langgar lembu, digilis kereta

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA BHARU 25 Nov. – Nasib malang menimpa dua remaja apabila maut selepas motosikal jenis Honda TS150 ditunggang mereka melanggar seekor lembu sebelum terjatuh di atas jalan dan digilis sebuah kereta di Kampung Simpang Cabang Tinggi Sabak, Pengkalan Chepa, di sini malam tadi.

Dalam nahas kira-kira pukul 9.30 malam, penunggang motosikal, Muhammad Aideed Mohd. Roslan, 17, serta sepupunya, Muhammad Emdy Syazwan Md. Norrizan, 17, yang membonceng di belakang mengalami kecederaan parah dan maut serta-merta di lokasi kejadian.

KEADAAN dua mangsa selepas terbabit dalam kemalangan di Kampung Simpang Cabang Tinggi Sabak, Pengkal
KEADAAN dua mangsa selepas terbabit dalam kemalangan di Kampung Simpang Cabang Tinggi Sabak, Pengkalan Chepa malam tadi. UTUSAN ONLINE/ MEDIA SOSIAL

Muhammad Aideed merupakan pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Panchor Perdana manakala Muhammad Emdy Syazwan menuntut di Kolej Vokasional Bachok.

Difahamkan, Muhammad Aideed sedang menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

Ketua Polis Daerah, Asisten Komisioner Abdul Rahim Daud ketika mengesahkan kejadian berkata, ketika nahas, kedua-dua mangsa datang dari arah Sabak ke Pengkalan Chepa terlanggar seekor lembu di tengah jalan lalu terjatuh di laluan bertentangan.

“Sebuah kereta jenis Toyota Vios yang dipandu seorang pesara lelaki berusia 61 tahun gagal mengelak mangsa berikutan jarak yang terlalu dekat lalu menggilis kedua-dua mereka.

“Dua mangsa terbabit mengalami kecederaan parah dan meninggal serta-merta di lokasi kejadian manakala pemandu kereta tidak mengalami sebarang kecederaan,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Beliau berkata, mayat dua mangsa tersebut dibawa ke Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian untuk bedah siasat.

Tambahnya, polis masih menjalankan siasatan lanjut berhubung kejadian dan kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Sementara itu, bapa saudara mangsa yang enggan dikenali berkata, dia mengetahui dua remaja itu terbabit dalam kemalangan pada pukul 10.30 malam.

“Mereka berdua memang rapat sejak kecil malah kalau tidak silap, hari lahir pun pada bulan yang sama iaitu Jun. Tidak sangka, mereka ‘pergi’ pun bersama,” katanya ketika ditemui di Unit Forensik HUSM Kubang Kerian hari ini. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×