2 laluan MASWings dilepas kepada AirAsia - Utusan Malaysia

2 laluan MASWings dilepas kepada AirAsia

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEPANG 21 Nov. – Kerajaan melepaskan dua laluan penerba­ngan ‘rural air services’ (RAS) Kota Kinabalu ke Sibu dan Kota Kinabalu ke Bintulu yang dikendalikan oleh MASWings Sdn. Bhd (MASWings) kepada Air­Asia Berhad (AirAsia).

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook yang mengumumkan perkara itu memberitahu, perkara tersebut diputuskan dalam mesyuarat Kabinet minggu lalu.

Menurutnya, dua laluan itu tidak lagi sesuai berada di bawah RAS kerana bukan bersifat

ANTHONY LOKE SIEW FOOK
ANTHONY LOKE SIEW FOOK 

pedalaman sebaliknya perlu dikomersialkan.

Berikutan keputusan itu katanya, perjanjian antara kerajaan dan anak syarikat Malaysia Airlines untuk tahun 2019 hingga 2024 terbatal.

“Keputusan melepaskan dua laluan kendalian MASWings itu dapat membantu kerajaan melakukan penjimatan untuk jangka masa panjang dalam aspek pemberian subsidi kepada MASWings.

“Selama ini kerajaan perlu menanggung subsidi untuk MASWings bagi lebih 30 pener­bangan di bawah RAS. Tetapi kini apabila dua laluan itu dikomersialkan AirAsia berhasrat untuk mengambilnya, jadi kami lepaskan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis pengumuman penerbangan tambahan AirAsia sempena Tahun Baharu Cina di Ibu pejabat AirAsia, RedQ di sini hari ini.

Anthony berkata, berikutan keputusan melepaskan dua laluan tersebut, Kementerian Pengangkutan perlu membayar pampasan kos operasi pesawat kepada MASWings untuk sepanjang tempoh 2019.

Kata beliau, pampasan tersebut akan diambil daripada RM230 juta yang diperuntukkan kepada Kementerian Pengangkutan dalam belanjawan bagi tujuan subsidi RAS untuk 2019.

“Tahun sebelum ini, jumlah subsidi yang diperuntukkan dalam Belanjawan 2019 untuk RAS adalah RM190 juta tetapi ia bertambah kepada RM230 juta bagi membayar kos pampasan kepada MASWings.

“Namun kita percaya peruntukan untuk subsidi RAS pada tahun-tahun akan datang akan semakin berkurang kerana banyak laluan RAS boleh dikomersialkan seperti yang dilakukan untuk dua laluan ini,” katanya.

Berhubung perjanjian antara kerajaan dan AirAsia bagi dua laluan tersebut tambah beliau, ia akan ditandatangani oleh kedua-dua pihak dalam waktu terdekat sebelum berakhirnya bulan Disember ini.

Dalam pada itu, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Air­Asia, Tan Sri Tony Fernandes berkata, AirAsia amat menghargai keputusan kerajaan itu kerana beliau telah menunggu hampir sembilan tahun untuk mendapatkan dua laluan tersebut.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN