KUALA LUMPUR 22 Nov. – Datuk Seri Najib Tun Razak pernah ditegur dua tahun lalu supaya mengambil tindakan terhadap pihak pengurusan dan ahli lembaga pengarah 1Malaysia Development Berhad (1MDB) kerana membuat banyak transaksi yang melanggar peraturan.

Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman berkata, beliau turut menggesa bekas Perdana Menteri itu supaya mempercepatkan siasatan terhadap 1MDB, IPIC dan anak syarikatnya Aabar Investments kerana bimbang akan kehilangan kepercayaan daripada rakyat.
Katanya, tindakannya mempersoal dan menegur itu kerana peranannya sebagai ahli parti yang setia yang bertanggungjawab menyuarakan pendapat.
“Saya masih ingat kata-kata saya ketika itu kalau tunggu lama-lama nanti kita (UMNO) akan menghadapi masalah, hilang kepercayaan dalam kalangan rakyat. Orang ramai tidak boleh tunggu, mereka hendak melihat tindakan diambil.
“Saya turut mempersoalkan Ketua Pegawai Eksekutif 1MDB, Arul Kanda Kandasamy berhubung tindakannya membuat transaksi kepada beberapa syarikat dengan begitu mudah, tapi beliau senyap,” katanya di lobi Parlimen, hari ini.
Dalam sesi wawancara siaran langsung Facebook Sinar Harian hari ini, Najib tidak menolak kemungkinan Malaysia ditipu jutawan kontroversi, Low Taek Jho atau Jho Low.
Tajuddin yang juga Ahli Parlimen Pasir Salak berkata, kerajaan Pakatan Harapan (PH) perlu melakukan yang terbaik untuk menjejaki Jho Low kerana UMNO juga mahu siasatan dijalankan terhadapnya.
“Kita kena menangani masalah ini, tindakan mesti diambil kepada mereka yang bertanggungjawab. Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein cakap boleh bantu, berilah dia buat,” katanya.
Dalam perkembangan lain, beliau yang juga Pengarah Koordinator Himpunan Ummah Tolak Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD) memberitahu, permohonan telah dibuat kepada pihak polis bagi menganjurkan program tersebut 8 Disember depan.
“Kita juga bertanyakan kepada Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan beliau mengingatkan ikut peraturan dan jangan melakukan tindakan provokasi. Memang kita tak provokasi sesiapa tapi hanya kerajaan Pakatan Harapan (PH) berhasrat melaksanakan ICERD,” katanya. – UTUSAN ONLINE










