1MDB: Laporan Ketua Audit kebenaran yang berhak diketahui rakyat - Utusan Malaysia

1MDB: Laporan Ketua Audit kebenaran yang berhak diketahui rakyat

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR – Pendedahan oleh Ketua Audit Negara mengenai pengubahan maklumat penting terhadap Laporan Akhir Pengauditan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) adalah kebenaran yang berhak diketahui oleh rakyat Malaysia, kata Menteri Kewangan, Lim Guan Eng.

Katanya, tindakan berkenaan adalah wajar kerana ia perkara benar yang disembunyikan selama ini. 

“Sekiranya kita bercakap untuk menyatakan kebenaran, orang ramai berhak mengetahui kebenaran,” katanya kepada pemberita di Lobi Parlimen di sini hari ini.

Ketua Audit Negara, Tan Sri Dr Madinah Mohamad mendedahkan bahawa Laporan Akhir Pengauditan 1MDB telah diubah, antaranya atas arahan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan bekas Ketua Setiausaha Sulit Najib, Tan Sri Shukry Salleh.

Dalam kenyataan bertarikh 24 November, Madinah berkata, dua perkara penting yang digugurkan dalam laporan itu menyentuh kehadiran ahli perniagaan yang diburu Low Taek Jho atau Jho Low dalam satu daripada mesyuarat Lembaga Pengarah 1MDB dan perenggan yang mengandungi dua versi penyata kewangan 1MDB bagi tahun berakhir 2014.

Madinah berkata, beliau menyampaikan taklimat pada 23 November kepada kabinet mengenai pindaan kepada laporan akhir itu dan menambah kata jemaah menteri telah mengarahkannya untuk mengeluarkan kenyataan  kepada media mengenai perkara itu. – Bernama

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×