PETALING JAYA 22 Nov. – Seramai 18 ahli Majlis Eksekutif Dewan Perniagaan Melayu Malaysia (DPMM) termasuk Naib Presiden, Datuk Seri Syed Hussien Al Habshee digugurkan jawatan secara automatik kerana menganjurkan Mesyuarat Agung Luar Biasa (EGM) dalam usaha menggulingkan Presiden, Rizal Faris Mohideen Abdul Kadir.
Menurut resolusi Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) yang diadakan hari ini, sebagaimana peruntukan di bawah Undang-Undang Tubuh DPMM (UUT DPMM), EGM yang diadakan Syed Hussien bersama penyokongnya merupakan suatu tindakan yang menjejas, menjatuh dan mencemarkan nama dewan.
“Oleh demikian, AGM sebagai kuasa tertinggi dewan dan mempunyai autoriti penuh dalam menentukan setiap pertikaian yang berlaku, mengambil keputusan mengenakan tindakan disiplin dengan menggugurkan keahlian semua ahli DPMM yang menghadiri EGM tersebut,” kata resolusi AGM itu kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.
Syed Hussien didakwa mengingkari perintah mahkamah apabila mengadakan EGM dengan membelakangkan dewan itu dalam usahanya untuk melucutkan jawatan Rizal Faris Mohideen.
Ini kerana mahkamah mengarahkan isu dalaman DPMM diselesaikan melalui Mesyuarat Eksekutif Dewan (MED) dan mesyuarat tersebut telah diadakan semalam dengan turut dihadiri Syed Hussien, tetapi gagal mencapai sebarang resolusi.
Ahli DPMM yang enggan namanya disiarkan memberitahu, mereka walaupun tidak terkejut dengan tindakan Syed Hussien tetapi kecewa kerana Naib Presiden itu sanggup mengetepikan Perlembagaan DPMM semata-mata untuk menjayakan agenda peribadi sehingga meletakkan dewan itu dalam keadaan tidak menentu.
“Beliau bersama sekutunya dilihat bersungguh-sungguh cuba untuk melucutkan jawatan Presiden hingga sanggup mengadakan EGM berasingan yang jelas bertentangan dengan perintah mahkamah,” katanya.
Utusan Malaysia melakukan tinjauan di lokasi di AGM kerana difahamkan Syed Hussien bersama sekitar 100 orang penyokongnya akan hadir ke mesyuarat tersebut sejurus tamat EGM yang dianjurkan kumpulan itu di sebelah pagi di tempat berasingan.
Bagaimanapun, Syed Hussien bersama penyokongnya tidak muncul di lokasi AGM untuk menjelaskan tindakan mereka yang melanggar perlembagaan dan proses mahkamah itu.
Pada 8 November lalu, difahamkan Syed Hussien turut mengadakan satu MED tanpa memaklumkan perkara itu kepada Setiausaha Agung DPMM terlebih dahulu dan tanpa mendapat sebarang kebenaran daripada mahkamah.
Syed Hussien bersama 17 ahli Majlis Eksekutif dewan itu mendakwa Rizal Faris Mohideen terlibat dalam urus niaga luar biasa membabitkan kehilangan lebih RM5 juta daripada tabung DPMM yang diperuntukkan oleh Jabatan Perdana Menteri (JPM).
Dakwaan tersebut bagaimanapun tidak berasas kerana tiada bukti kukuh, malah laporan telah difailkan di Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Suruhanjaya Pencegah Rasuah Malaysia (SPRM) untuk menjalankan siasatan dan masih belum me-nemui jawapan pasti.
Dalam pada itu, Setiausaha Agung DPMM, Don Nazwim Don Najib menyeru semua ahli dewan itu supaya tidak mudah percaya khabar angin yang dibuat oleh kumpulan tersebut, sebaliknya berpegang kepada kedaulatan undang-undang, perlembagaan dan proses yang sewajarnya.










