16 premis makanan diarah tutup 14 hari - Utusan Malaysia

16 premis makanan diarah tutup 14 hari

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN 18 Nov. – Sebanyak 16 daripada 50 premis makanan yang diperiksa Jabatan Kesihatan negeri di daerah ini hari ini dia-rahkan tutup sementara selama 14 hari di bawah Seksyen 11 Akta Makanan 1983.

Pengerusi Jawatankuasa Ber­tindak Kesihatan, Alam Sekitar, Koperasi dan Kepenggunaan ne­geri, S. Veerapan berkata, tindakan itu dilakukan dalam Operasi Premis Makanan Bersih yang dijalankan di beberapa lokasi.

Menurutnya, sebanyak 103 notis kompaun bernilai RM25,350 turut dikeluarkan di bawah Seksyen 32B akta yang sama dalam operasi berkenaan.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Seramai 78 pegawai kesihatan terlibat dalam operasi ini dan antara kesalahan yang dikenal pasti ialah pengendali makanan tiada sijil latihan pengendalian makanan dan suntikan tifoid.

“Beberapa pemilik turut gagal mengekalkan kebersihan premis makanan, tidak memakai apron dan penutup kepala serta tidak menjaga kebersihan diri,” katanya dalam satu kenyataan di sini.

Veerapan memberitahu, operasi diadakan secara berterusan bagi memastikan standard premis makanan di negeri ini sentiasa berada pada tahap memuaskan dan mematuhi peraturan.

Menurut beliau, sebelum ini, sebanyak 65 daripada 5,779 premis makanan yang diperiksa di negeri ini diarahkan tutup sementara di bawah Seksyen 11 Akta Makanan 1983 sejak Januari sehingga Oktober lalu.

Ujarnya, sebanyak 728 notis kompaun bernilai RM173,350 dikeluarkan di bawah Seksyen 32B Akta Makanan 1983 bagi tempoh sama.

“Orang ramai dinasihatkan supaya sentiasa mengamalkan amalan lihat, hidu dan rasa dan hanya memilih premis dan pe­ngendali makanan yang bersih,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×