KUALA LUMPUR 20 Nov. – Sebanyak 13 individu daripada latar belakang sosial yang berbeza dipilih sebagai Tokoh Maulidur Rasul Ehsan Group of Companies (Kumpulan Ehsan) bagi menghargai jasa mereka dalam pelbagai bidang.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Ehsan, Datuk AbduI Hamid P.V. Abdu berkata, kesemua mereka dipilih berdasarkan sumbangan terhadap proses pembangunan masyarakat India Muslim selain berperanan mengembangkan syiar Islam dalam persekitaran masing-masing.
“Peranan dan sumbangan mereka amat bermakna bagi memartabatkan agama dan membangunkan ekonomi umat Islam melalui pelbagai bidang perniagaan mahupun pertubuhan bukan kerajaan (NGO).
“Semoga dengan anugerah ini akan mendorong mereka menjadi lebih berbakti demi kemakmuran Islam dan umat keseluruhan,” katanya ketika berucap merasmikan sambutan Maulidur Rasul anjuran Kumpulan Ehsan di Madrasah Assirathul Mustaqeem dekat sini, malam ini.
Majlis penyampaian anugerah berkenaan disempurnakan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Mujahid Yusof. – UTUSAN ONLINE










