SHAH ALAM – Seramai 1,147 pelajar Sekolah Kebangsaan Seksyen 9, di sini terpaksa menumpang teduh di khemah sementara berikutan dewan utama sekolah mengalami kerosakan bahagian bumbung dan siling hampir setahun lalu.
Demikian situasi yang berlaku di sekolah berkenaan apabila Dewan Sinar yang menjadi tempat penganjuran program serta dewan peperiksaan pelajar sekolah itu tidak dapat digunakan disebabkan kerosakan tersebut.
Menurut Guru Besar sekolah itu, Ab Rashid Md. Ihsan, pihak sekolah sebelum ini telah pun dikemukakan kepada pihak berwajib sebelum ini, namun sehingga kini proses pembaikan dewan berkenaan masih belum dapat dilaksanakan sehingga kini.
“Bagaimanapun, pihak sekolah amat berharap isu Dewan Sinar ini dapat diberikan perhatian secepat mungkin oleh pihak berwajib. Ini kerana, kita mahu para pelajar sekolah ini mendapat kemudahan yang terbaik.
“Buat masa ini kita menyewa khemah besar untuk mengadakan program para pelajar yang mana kos sewaannya memakan RM7,000 sebulan. Justeru, kita amat berharap dewan ini dapat diperbaiki secepat mungkin terutamanya untuk persiapan sesi persekolahan pada tahun depan,” katanya di sini hari ini.
Terdahulu, Ab Rashid menerima kunjungan daripada Setiausaha Politik Perdana Menteri, Abu Bakar Yahya yang hadir mengadakan lawatan serta meninjau kerosakan struktur bumbung dan siling dewan sekolah berkenaan.
Dalam perkembangan Abu Bakar menyatakan pihaknya akan merujuk permasalahan dewan sekolah itu untuk perhatian dan penilaian selanjutnya kepada Kementerian Pendidikan dan Jabatan Kerja Raya. – K! ONLINE











