KOTA KINABALU 23 Nov. – Kira-kira 1,000 orang terdiri daripada 16 pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan parti politik membantah usaha meratifikasi Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD) di negara ini.
Ketua Pemuda UMNO Sabah, Ir. Abdul Aziz Julkarnain berkata, bantahan itu dilakukan dengan melihat kepada beberapa isu termasuk menggugatkan agama Islam sebagai agama Persekutuan.

Selain itu, tambahnya, usaha meratifikasi ICERD turut menjejaskan kedudukan kaum bumiputera di negeri ini sekali gus mengancam kedudukan istimewa dalam Perlembagaan Persekutuan.
“Hari ini kami berada di sini bukan berdasarkan kepada fahaman politik, sebaliknya adalah untuk memperjuangkan hak dan kedudukan Islam serta bumiputera di negeri ini.

“Ini kerana, langkah meratifikasi ICERD yang diambil pihak tidak bertanggungjawab akan menimbulkan kesan buruk selain menjejaskan keamanan yang dikecapi selama ini,” katanya ketika ditemui selepas perhimpunan aman di sini, hari ini.
Himpunan aman tersebut diadakan selepas selesai Solat Jumaat di pekarangan Masjid Negeri di sini.

Antara NGO yang terlibat ialah Pertubuhan Kebajikan Islam dan Dakwah Islamiah Malaysia (Pekida), Gabungan Mahasiswa Islam Semalaysia (Gamis) dan Pertubuhan Permuafakatan Majlis Ayahanda Malaysia (Permas). – UTUSAN ONLINE










