MELAKA 5 Okt. – Zoo Melaka yang sebelum ini ditutup bagi kerja-kerja pengauditan oleh pihak Majlis Perbandaran Hang Tuah Jaya (MPHTJ) setelah mengambil alih daripada syarikat konsortium KKW Sdn. Bhd. kini beroperasi semula.
Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Alam Sekitar negeri, Tey Kok Kiew berkata, operasi zoo akan disambung semula mulai hari ini berikutan terdapat banyak permintaan daripada para pengunjung.
Menurutnya, masa operasi zoo adalah seperti biasa setiap hari dari pukul 9 pagi hingaa pukul 6 petang.
“Pada masa sama, kerja-kerja pengauditan dan penambahbaikan akan diteruskan oleh MPHTJ) daripada syarikat konsortium KKW Sdn. Bhd. seperti yang dimaklumkan sebelum ini,” katanya dalam satu sidang akhbar di sini hari ini.
Yang turut hadir, Yang Dipertua MPHTJ, Mahani Masbah.
Sementara itu, Kok Kiew berharap pengunjung yang melawat negeri ini pada hujung minggu terus berpeluang untuk melawat Zoo Melaka dan seterusnya meningkatkan imej Melaka yang merupakan negeri pelancongan.
“Penutupan 14 hari seperti yang telah diumumkan sebelum ini dipendekkan kepada empat hari sahaja kerana terdapat permintaan dan penempahan daripada pengunjung untuk melawat Zoo Melaka.
“Bagi tujuan mempromosikan semula Zoo Melaka, pihak MPHTJ menawarkan harga promosi tiket iaitu RM10 bagi dewasa, manakala RM5 untuk kanak-kanak, orang kurang upaya dan warga emas mulai hari ini hingga Ahad iaitu selamat tiga hari,” katanya.
Dalam pada itu, beliau memberitahu, pihaknya juga mengalu-alukan sebarang maklum balas dan cadangan penambahbaikan daripada para pengunjung dalam sempena pengoperasian semula Zoo Melaka. – UTUSAN ONLINE











