PENANTIAN pemain perseorangan lelaki negara, Lee Zii Jia untuk memenangi gelaran sulung pada peringkat senior akhirnya berjaya dicapai selepas dia muncul juara kejohanan badminton Terbuka Taiwan di Taipei Arena semalam.
Zee Jia yang disebut-sebut bakal menjadi pengganti jaguh perseorangan negara, Datuk Lee Chong Wei terpaksa berhempas pulas sebelum membenam cabaran pemain Jepun, Riichi Takeshita menerusi aksi tiga set 21-17, 16-21, 21-11 dalam tempoh lebih sejam pada aksi final itu.
Pada aksi semalam, pemain berusia 20 tahun itu memulakan permainan dengan baik apabila memenangi set pertama sebelum Takeshita bangkit pada set kedua sekali gus mengheret perlawanan ke aksi penentuan.
Bagaimanapun, keazaman serta kemahuan tinggi yang ada dalam diri pemain kelahiran Kedah itu membakar semangatnya untuk memberikan segala-galanya sehingga membantu dia meraih kejuaraan sulung.
“Pertama sekali, memang saya gembira dengan kemenangan hari ini (semalam) kerana kejuaraan ini merupakan gelaran pertama saya. Walaupun menang, saya tidak mahu terlalu meraikannya.
“Kebelakangan ini begitu banyak berita mengenai sukan badminton negara, terutamanya masalah kesihatan yang dihidapi Datuk Lee Chong Wei serta kehilangan sahabat, Tan Chee Tean,” katanya ketika dihubungi Kosmo! semalam.
Menerusi kejuaraan itu juga, Zii Jia turut menamatkan penantian Malaysia selama 14 tahun untuk menyaksikan pemain negara muncul juara di Taiwan selepas kali terakhir dilakukan Chong Wei pada 2004.
Selepas ini, Zii Jia akan mempersiapkan diri bagi memburu gelaran kedua dalam kariernya pada kejohanan Terbuka Macau yang bakal berlangsung di Tap Seac Multisport Pavilion hujung bulan ini.











