PEKAN – Syarikat pengeluar komponen kenderaan terkemuka dari Jerman, ZF Chassis System Sdn. Bhd. (ZF) terus memperkukuhkan kehadirannya di negara ini menerusi pembukaan kilang di Taman Automotif Pekan dekat sini.
Kilang berkeluasan lebih 13,000 meter persegi itu merupakan pusat pengeluaran kedua syarikat berkenaan selepas Kulim, Kedah yang beroperasi pada tahun 2013.
Pengurus Besarnya, Glenn Todd berkata, langkah perluasan perniagaan itu adalah bagi memenuhi permintaan kenderaan mewah tempatan dan antarabangsa, di samping mengukuhkan komitmennya di pasaran ASEAN.
Ujarnya, kilang bernilai RM48 juta itu dijangka dapat meningkatkan kapasiti pengeluaran sistem ZF Chassis di Malaysia.
“Kami menyasarkan peningkatan pengeluaran 100 peratus berbanding 10,000 unit casis yang dikeluarkan setahun pada masa kini.
“Operasi pengeluaran casis turut merangkumi sistem gandar depan dan belakang bagi jenama Mercedes Benz, selain satu-satunya kemudahan pengeluaran komponen bagi kenderaan mewah di Malaysia,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis perasmian kilang berkenaan di sini baru-baru ini.
Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Sains, Teknologi Hijau, Komunikasi dan Multimedia, Datuk Mohammad Fakhruddin Mohd Ariff..
Todd menambah, kilang itu dilengkapi dengan kemudahan dan teknologi terkini yang mampu menghasilkan keperluan khusus pelanggan, selain menawarkan produk-produk inovatif berkualiti terbaik.
Selain Malaysia, ZF juga mempunyai kehadiran di Australia, China, India, Indonesia, Jepun, Korea Selatan, Hong Kong, New Zealand, Filipina, Singapura, Taiwan, Thailand dan Vietnam.










