Zeti terima Anugerah Diraja Kewangan Islam 2018 - Utusan Malaysia

Zeti terima Anugerah Diraja Kewangan Islam 2018

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR 3 Okt. – Bekas Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM), Tan Sri Dr. Zeti Akhtar Aziz dikurniakan Anugerah Diraja Kewangan Islam 2018 dalam satu majlis makan malam di Hotel St. Regis di sini, malam ini.

Anugerah itu diperkenankan untuk disampaikan oleh Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah yang juga penaung diraja bagi kewangan Islam di negara ini.

Penyampaian anugerah tersebut juga diadakan bersempena Forum Kewangan Islam Global 2018 (GIFF).

Pengerusi juri bagi anugerah itu, Tun Musa Hitam berkata, Zeti Akhtar terpilih untuk menerima anugerah berprestij tersebut kerana pencapaian dan kepemimpinannya yang cemerlang sehingga kewangan Islam mencapai tahap lebih tinggi dalam arena kewangan domestik dan global.

Menurutnya, sepanjang tempoh perkhidmatan sebagai Gabenor BNM, Zeti Akhtar memainkan peranan penting dalam memacu industri kewangan Islam di peringkat antarabangsa dan mengukuhkan hubungan sistem kewangan Islam domestik dengan pusat kewangan lain.

Malah, katanya, Zeti Akhtar juga berjaya memartabatkan sistem kewangan Islam sehingga diterima dan diiktiraf secara meluas di peringkat antarabangsa.

Selain itu, Zeti Akhtar juga berjaya memanfaatkan tenaga mahir profesional dan kompeten menerusi pembangunan ekosistem tenaga mahir yang komprehensif untuk kewangan Islam.

Terdahulu, Zeti Akhtar ketika ditemui pemberita memberitahu, anugerah yang diterimanya merupakan satu penghormatan yang tinggi buat dirinya.

“Saya berasa begitu bertuah kerana dapat bersama-sama terlibat secara langsung dalam arus pembangunan kewangan Islam global.

“Bagaimanapun, penghormatan ini juga merupakan pengiktirafan kepada semua pihak yang terlibat bersama-sama saya dalam menjayakan usaha yang murni ini,” katanya.

Anugerah Diraja Kewangan Islam diwujudkan sejak 2010 merupakan anugerah dwitahunan anjuran BNM dan Suruhanjaya Sekuriti Malaysia di bawah inisiatif Pusat Kewangan Islam Antarabangsa Malaysia (MIFC). – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN