KUALA LUMPUR 19 Okt. – Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi tiba 8.15 pagi di lobi Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur, Jalan Tuanku Abdul Halim di sini.
Bekas Timbalan Perdana Menteri itu hadir menaiki kenderaan Toyota Vellfire dan diiringi pihak polis.
Ahli Parlimen Bagan Datuk hadir dengan memakai baju batik berwarna jingga sempat melambaikan tangan sambil melemparkan senyuman kepada para wartawan serta jurugambar.
Beliau dijangka berhadapan kira-kira 45 pertuduhan berjumlah lebih RM10 juta di bawah Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUAA) 2001.
Sebelum ini beliau telah menerima notis untuk hadir ke SPRM dipercayai berhubung siasatan penyelewengan dana yayasan milik keluarganya iaitu Yayasan Akal Budi.
Pada minggu lalu, beliau dipanggil memberi keterangan sebanyak tiga kali berturut-turut selain untuk kali pertama dan kedua pada 2 serta 3 Julai lalu.
Turut dipanggil memberikan keterangan membabitkan kes sama ialah adiknya, Datuk Seri Mohamad Nasaee Ahmad Tarmizi @ Hamidi serta anak sulung Ahmad Zahid iaitu Datuk Nurulhidayah. -UTUSAN ONLINE










