KUALA LUMPUR – Yayasan Kebajikan Artis Tanah Air (YKAT) menyampaikan sumbangan berjumlah RM32,000 kepada seramai 16 orang artis yang terdiri daripada pelbagai kaum sempena sambutan Deepavali yang bakal disambut pada November depan.
Sumbangan diberikan kepada penerima dengan nilai RM2,000 seorang demi meringankan beban mereka untuk menyambut perayaan tersebut.
Malah, YKAT turut memberi sumbangan sekali seumur hidup kepada artis yang telah mencecah usia 60 tahun bagi meringankan tanggungan kewangan untuk kos perubatan.
Menurut Pengerusi YKAT, Datuk DJ Dave, sumbangan pada hari ini selari dengan objektif dan misi persatuan tersebut dalam menjamin kebajikan kepada seluruh artis tempatan tidak mengira agama dan bangsa.
“Seramai 16 orang artis tempatan yang berbilang bangsa terdiri daripada India, Melayu dan Cina menerima sumbangan daripada persatuan pada hari ini.
“Menerusi sumbangan ini, ia adalah sebahagian penghargaan kami terhadap jasa mereka selama berada dalam industri,” katanya ketika ditemui pada Majlis Sumbangan YKAT sempena sambutan Deepavali 2018 sebentar tadi.
Majlis itu juga turut menyaksikan YKAT menyampaikan sumbangan kepada keluarga komposer Datuk Suhaimi Mohd. Zain atau Pak Ngah yang meninggal dunia pada 25 September lalu akibat serangan jantung.
Sumbangan diterima oleh dua anak Allahyarham iaitu Megat Mohd. Syahraini dan Siti Nur Syafrina. – K! ONLINE










